Turki tahan 44 musuh Erdogan

Turki tahan 44 musuh Erdogan

ISTANBUL, 3 Nov (Reuters) – Polis Turki menahan 44 orang termasuk pegawai kanan kerajaan dan pegawai polis di wilayah Izmir di barat negara itu hari ini dalam satu operasi yang mensasarkan penyokong ulama Fethullah Gulen yang menentang Presiden Tayyip Erdogan, lapor media tempatan.

Serbuan itu dibuat selepas dua hari Parti AK, yang ditubuhkan Erdogan memperoleh mandat untuk menerajui kerajaan, namun pembangkang khuatir kemenangan itu akan menyebabkan kerajaan menjadi sangat berkuasa.

Mengikut agensi berita Dogan, serbuan pada awal pagi tadi itu dijalankan di beberapa tempat di seluruh Izmir dalam operasi menentang ‘struktur selari’, istilah yang digunakan merujuk kepada penyokong Gulen yang berpangkalan di Amerika Syarikat dalam sistem pentadbiran kerajaan. Semua suspek dibawa ke pejabat unit jenayah terancang bandar, lapor Dogan.

Kerajaan AKP dijangka akan mempercepatkan usaha untuk menyingkirkan penyokong setia ulama Turki dalam buangan Fethullah Gulen. Bekas sekutu Erdogan yang tinggal di Amerika Syarikat, Gulen didakwa ‘menjalankan aktitivti kumpulan pengganas’.

Erdogan menuduh Gulen cuba untuk menjatuhkannya dengan memujuk sekutu dalam pasukan polis Turki dan badan kehakiman untuk melancarkan siasatan besar ke dalam rasuah kerajaan pada bulan Disember 2013, yang membawa kepada peletakan jawatan empat menteri.

Pihak berkuasa Turki bertindak balas dengan menyingkirkan kedua-dua pasukan polis dan badan kehakiman itu dan menangkap editor berita dan ahli perniagaan. Pada 27 Oktober lalu, pihak berkuasa Turki mengambil alih pengurusan syarikat termasuk akhbar dan stesen televisyen yang mempunyai kaitan dengan Gulen.