Turnbull PM baru Australia

Turnbull PM baru Australia

Canbera, 15 Sept (Reuters) – Bekas ahli perbankan dan ahli perniagaan, Malcolm Turnbull hari ini mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Australia ke-29, sehari selepas menewaskan Tony Abbott sebagai pemimpin Parti Liberal dalam pengundian parti itu semalam.

Turnbull, yang berikrar untuk membawa wajah baru dalam kepimpinan perundingan ke Australia, mengangkat sumpah di Pejabat Gabenor, Peter Cosgrove di ibu negara Canberra.

Turnbull, semalam memenangi undian secara rahsia 54-44.

Beliau turut berjanji akan menumpu kepada meningkatkan ekonomi negara yang lemah ketika rakyat Australia hari ini mempunyai pemimpin keempatnya dalam tempoh dua tahun.

Dalam pengundian rahsia lewat semalam, parti memerintah, Parti Liberal mengundi untuk menyingkirkan Tony Abbott sebagai perdana menteri dalam menyokong Turnbull, jutawan yang pernah menjadi usahawan teknologi yang begitu popular di kawasan pengundian.

Turnbull mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-29 Australia di rumah kerajaan di Canberra. – AFP
Turnbull mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-29 Australia di rumah kerajaan di Canberra. – AFP

“Saya amat yakin dan kami akan menjelaskan dalam tempoh beberapa minggu mendatang, lebih banyak tentang asas yang akan memastikan kemakmuran kita dalam tahun-tahun mendatang,” Turnbull memberitahu para pemberita ketika beliau menuju parlimen hari ini.

Abbott telah digulingkan selepas tinjauan pendapat selama beberapa bulan yang menunjukkan popularitinya menurun dalam pendapat kalangan orang awam ketika ekonomi AS$1.5 trilion Australia dalam kesukaran mengawal penamatan perkembangan perlombongan sekali dalam sedekad.

Turnbull, pernah disingkirkan oleh Abbott sebagai pemimpin parti Liberal konservatif pada tahun 2009, terus menerus dilihat sebagai perdana menteri yang disukai.

Bagaimanapun, sokongannya bagi skim dagangan karbon, perkahwinan gay dan sebuah republik Australia telah menjadikan beliau tidak popular dalam kalangan ahli parti sayap kanan.

Turnbull secara meluas dijangka akan membaik pulih kabinet, dengan Bendahari pada masa ini Joe Hockey, yang berdepan dengan tindak balas terhadap belanjawan yang begitu tidak popular, mungkin diganti oleh Menteri Perkhidmatan Sosial, Scott Morrison.

Menteri Pertahanan Kevin Andrews, yang mengawasi tender kapal selam benilai AS$50 bilion juga dijangka akan diganti, apabila Turnbull mendedahkan senarai kabinet beliau lewat minggu ini.

Menteri Luar Julie Bishop, yang telah memenangi undi parti akan kekal dalam jawatan, selain jawatan timbalan perdana menteri, berkata dia telah bercakap dengan para pemimpin antarabangsa semalaman tentang perubahan pucuk kepimpinan.

Parti pembangkang, Parti Buruh yang dengan pantas melabel Turnbull ‘jutawan yang tinggal di kediaman merah jambu di Sydney Harbour’ yang tidak berhubungan dengan rakyat biasa Australia.

Perubahan pemimpin merupakan tanda terbaru ketidakstabilan politik di Australia, yang beberapa tahun kebelakangan goyah oleh komplot dan rampasan kuasa parti yang telah menggugat keyakinan awam dan perniagaan kerajaan.

Kevin Rudd, dari parti Buruh telah dilantik sebagai perdana menteri dengan mandat kuat pada tahun 2007, telah disingkirkan oleh timbalannya, Julia Gillard, pada tahun 2010 di tengah bilangan undi sama yang dihadapi Abbott, Gillard pula disingkirkan oleh Rudd sebelum pilihan raya yang dimenangi Abbott dalam tahun 2013.