Turun naik ringgit tidak beri kesan beli belah dalam talian

Turun naik ringgit tidak beri kesan beli belah dalam talian

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) – Platform membeli-belah dan jualan dalam talian di Asia Tenggara, Lazada, melihat nilai ringgit yang turun naik ringgit sejak kebelakangan ini, tidak memberi kesan kepada tabiat perbelanjaan rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel berkata diskaun dan penawaran sehingga 5 juta produk dengan 22,000 jenama telah menyebabkan pelanggan terus tertarik untuk membeli-belah.

“Apabila seseorang itu membeli-belah dengan kami, kami sebenarnya membantu mereka menyimpan lebih banyak wang kerana kami hanya menawarkan harga yang terbaik dan terendah, tanpa perlu kos perjalanan ke pusat membeli-belah atau tersangkut dalam trafik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai trend membeli-belah semasa dan kempen tahunan Jualan Revolusi Dalam Talian Lazada yang bermula dari 11 November hingga 12 Disember ini.

Kempen itu, yang sekarang ini dalam tahun ketiga, menawarkan jualan kilat, produk kategori istimewa, promosi rakan eksklusif dan banyak lagi, dengan diskaun sehingga 95 peratus.

“Kami bekerjasama dengan lebih 100 peniaga, dalam dan luar negara untuk kempen ini dengan meminta mereka memberikan harga paling murah dan kami berharap jualan kali ini akan meningkat dua kali ganda daripada tahun lepas,” kata Ressel.

Bercakap mengenai trend membeli-belah dalam talian, beliau berkata, 81 peratus daripada pelanggan Lazada berada di Kuala Lumpur.

Trend juga menunjukkan lebih ramai pelanggan sekarang ini mula mencari kategori yang lebih baharu seperti produk rumah, kanak-kanak, anak damit, jam tangan, cermin mata, barang kemas dari elektronik.

Katanya, setakat ini, kumpulan Lazada juga telah menyaksikan peningkatan dalam aplikasi mudah alih melalui muat turun dari Android dan IOS sehingga melepasi 20 juta pada suku ketiga 2015 di Asia Tenggara.

ARTIKEL YANG SAMA