Turunkan seni masakan & gubahan

Turunkan seni masakan & gubahan

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 30 Ogos – Kemahiran masakan dan kesenian gubahan bukan sahaja perlu terus ditonjolkan tetapi ia juga harus diturunkan kepada generasi muda supaya ia tidak akan hilang ditelan arus perubahan zaman moden.

Di samping itu, kegiatan memasak dan seni gubahan, bukan sahaja dilakukan sebagai aktiviti untuk mengisi masa lapang kaum wanita malahan boleh dijadikan sebagai satu bidang perniagaan dan sumber pendapatan yang menguntungkan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Bersama Persatuan Pertiwi Cawangan Daerah Tutong, Hajah Asmah binti Haji Mohammad semasa Pameran/ Peraduan Urusan Rumah Tangga dan Seni Gubahan sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 bagi Daerah Tutong yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah di majlis berkenaan ialah isteri Pegawai Daerah Tutong, Dayang Norfaridah binti Ahad.

Dayang Norfaridah menyaksikan pameran dan acara memasak kuih Melayu.
Dayang Norfaridah menyaksikan pameran dan acara memasak kuih Melayu.
Dayang Norfaridah menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang terbaik keseluruhan.
Dayang Norfaridah menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang terbaik keseluruhan.

Pameran dan pertandingan yang dikendalikan oleh Persatuan Pertiwi Cawangan Daerah Tutong itu merupakan salah satu acara keraian sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan yang diadakan untuk mengetengahkan kemahiran bidang masakan dan seni gubahan para wanita dan penduduk di daerah ini.

Di majlis itu, Dayang Norfaridah menyempurnakan penyampaian hadiah terbaik keseluruhan dengan tempat pertama dimenangi oleh Haji Saiful Rizal bin Haji Mahadi, tempat kedua Hajah Halinah binti Haji Mahadi dan Hajah Norain binti Mohd Yasin di tempat ketiga.

Dayang Norfaridah juga berpeluang menyaksikan pameran dan acara memasak kuih Melayu.

ARTIKEL YANG SAMA