Tutong B-15 menang tipis

Tutong B-15 menang tipis

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Aksi pertama Kumpulan A, Piala Remaja Elit B15 NFABD 2015 pagi ini menyaksikan Daerah Tutong B-15 menewaskan Tabuan B-13 dengan jaringan 1-0.

Gol tunggal perlawanan di Kompleks Sukan Berakas (KSB) dihasilkan oleh Mohammad Aqmal bin Kafali pada minit ke-38 separuh masa kedua.

Perlawanan di sebelah petang antara Belait Black Gold B-15 dengan TAFA B-15 (Temburong) di KSB pula dimenangi TAFA B-15 dengan jaringan 2-0.

Kedua-dua gol TAFA B-15 disumbangkan oleh Riwandey Anak Inggul pada minit ke-30 separuh masa pertama dan minit ke-42 separuh masa kedua.

Perlawanan terakhir Kumpulan A hari ini menyaksikan Brunei Sports School B-15 membelasah ISB B-15 dengan jaringan 5-0 iaitu hanya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama sebelum menambah empat gol lagi pada separuh masa kedua.

Persaingan sengit antara pemain Daerah Tutong B-15 (kuning) semasa menewaskan Tabuan B-13 di KSB dengan jaringan 1-0.
Persaingan sengit antara pemain Daerah Tutong B-15 (kuning) semasa menewaskan Tabuan B-13 di KSB dengan jaringan 1-0.

Suhaily Syafiee menjaringkan gol pertama Brunei Sports School B-15 pada minit ke-21, dan kemudian beliau menjadikan kedudukan 2-0 enam minit selepas rehat iaitu pada minit ke-36.

Mohd Dzulafiq meledakkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-38 sebelum merembat gol kedua peribadi dan keempat pasukannya pada minit ke-51. Gol penutup perlawanan hadir pada minit terakhir perlawanan iaitu minit ke-60 yang dijaringkan oleh Mohd Irfan.

Selesai ketiga-tiga perlawanan berkenaan, Brunei Sports School B-15 kini menerajui Kumpulan A kejohanan anjuran Jabatan Perkembangan Bolasepak NFABD itu dengan 3 mata (lima gol tanpa bolos), diikuti TAFA B-15 dengan 3 mata (2 gol tanpa bolos bolos) di tempat kedua dan Daerah Tutong B-15 di tangga ketiga dengan 3 mata (1 gol tanpa bolos).

Tabuan B-13, Belait Black Gold B-15 dan ISB B-15 setelah tewas masing-masing berada di kedudukan keempat, kelima dan keenam Kumpulan A.

ARTIKEL YANG SAMA