Tutong berkembang maju berkat kepimpinan KDYMM

Tutong berkembang maju berkat kepimpinan KDYMM

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 Julai – Sejak pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Daerah Tutong sehingga kini telah menunjukkan perubahan yang amat ketara terutama dari segi pembangunan dan peningkatan ekonominya.

Perubahan itu, dapat dilihat daripada pembinaan pembangunan kerajaan yang semakin maju dan landskap yang amat moden sebagaimana yang ada iaitu Kemajuan Sungai Tutong yang telah pun dinaiktarafkan dengan kunjungan ramai iaitu selaras dengan kemajuan negara.

Selain itu, daripada segi peningkatan ekonomi, hasil daripada projek Satu Produk Satu Kampung yang mana setiap kampung di Daerah Tutong telah menghasilkan produk-produk yang boleh membangunkan hasil ekonomi Kampung, jelas ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohd Taha bin Abdul Rauf yang juga merupakan Penghulu Mukim Keriam.

Semasa ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, hari ini, beliau juga melahirkan harapan agar pembangunan di daerah ini semakin menggalakkan dan meningkat di bawah kepimpinan dan kebijaksanaan Baginda yang cukup baik dan sangat prihatin kepada rakyat dan penduduknya.

Pandangan sama diberikan oleh Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku Penghulu Mukim Telisai, yang berkata antara kemajuan yang dapat dilihat ialah terbinanya satu bangunan kerajaan baru iaitu Mahkamah Syariah Daerah Tutong yang akan menjadi mercu tanda Daerah Tutong, bertambahnya kedai-kedai baru di Pekan Tutong dan sekitarnya, serta terbinanya Lebuh Raya Telisai-Lumut.

Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohd Taha bergambar ramai bersama ketua-ketua kampung di kawasan Mukim Keriam.
Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohd Taha bergambar ramai bersama ketua-ketua kampung di kawasan Mukim Keriam.
Yang Berhormat Haji Ramli mengakui banyak perubahan yang amat ketara terutama dalam kemajuan pembangunan Daerah Tutong.
Yang Berhormat Haji Ramli mengakui banyak perubahan yang amat ketara terutama dalam kemajuan pembangunan Daerah Tutong.

Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohd Taha, sebagai penghulu yang berkhidmat begitu lama di Daerah Tutong, turut melahirkan harapan agar anak-anak buah kampung akan dapat meningkatkan dan mengusahakan ekonomi kampung lagi di samping mengharapkan kerajaan membantu masalah penduduk dan rakyatnya.

Beliau juga berharap agar pelbagai agensi termasuklah agensi kerajaan dan swasta atau industri-industri luar yang dipercayai akan dapat memberi peluang kepada penganggur-penganggur tempatan untuk sama-sama membangunkan lagi Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, Yang Berhormat Haji Ramli semasa menyentuh mengenai Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 tahun, berkata bahawa ia nampak berbeza dari tahun ke tahun.

“Walaupun sambutannya nampak sederhana, simple tetapi ianya masih lagi meriah,” katanya sambil menambah, persembahan pentas yang diadakan adalah sangat menarik yang melibatkan masyarakat di Daerah Tutong yang terdiri daripada tujuh puak yang sentiasa bersatu padu.

Dalam hal ini, beliau berharap rakyat dan penduduk Daerah Tutong akan sentiasa komited dan hadir di dalam sama-sama menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan pada tahun yang akan datang yang mana sambutan tersebut dapat menunjukkan sumbangan kita sebagai rakyat untuk menghargai dan cinta kita kepada Baginda Sultan.

Dengan kesempatan ini, kedua-dua ahli MMN berkenaan, turut menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas keprihatinan dan kepimpinan Baginda ke atas rakyat dan penduduk Brunei dan mendoakan semoga Baginda Sultan kekal karar, memerintah Negara Brunei Darussalam dengan petunjuk Allah S.W.T.