Tutong catat kadar penurunan jenayah

Tutong catat kadar penurunan jenayah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 Jan – Tahun 2015 menjadi tahun penanda aras (sukat-sukat atau benchmark) bagi Daerah Polis Tutong dengan mencatatkan penurunan ketara kadar kes jenayah yang dilaporkan iaitu daripada 602 kes pada 2014 kepada 564 kes pada 2015.

Penurunan ketara ini hasil daripada pelbagai usaha dan strategi pencegahan jenayah yang diungkayahkan di daerah ini termasuklah taklimat kesedaran dan jerayawara pencegahan menumpukan kepada jenayah-jenayah yang berlaku di kawasan pekan dan pedalaman dengan membawa agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkepentingan.

Perkara ini dinyatakan oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Supt. Haji Chipli bin Haji Mohamad semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Polis, Cenderahati kepada Balai-balai Polis di bawah Pemerintahan, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong sepanjang mengikuti aktiviti tahunan 2015 dan penyampaian sijil penghargaan kepada ahli-ahli Zumba yang berlangsung di kawasan Lapang Balai Polis Tutong.

Menurut Supt. Haji Chipli, tahun lalu tujuh operasi pencegahan jenayah telah dijalankan berbanding tiga operasi pada 2014. Ini termasuklah penglibatan aktif ahli-ahli pengawasan kejiranan melalui rondaan kerap dan berjadual.

Supt. Haji Chipli semasa menyampaikan ucapan, kelmarin.
Supt. Haji Chipli semasa menyampaikan ucapan, kelmarin.
Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong menyampaikan Pingat Perkhidmatan Polis, sijil penghargaan kepada ahli-ahli Zumba, dan cenderahati kepada balai-balai polis di bawah Pemerintahan, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong sepanjang mengikuti aktiviti tahunan 2015.
Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong menyampaikan Pingat Perkhidmatan Polis, sijil penghargaan kepada ahli-ahli Zumba, dan cenderahati kepada balai-balai polis di bawah Pemerintahan, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong sepanjang mengikuti aktiviti tahunan 2015.
Gambar ramai anggota polis yang diraikan.
Gambar ramai anggota polis yang diraikan.

Manakala itu, ujar beliau lagi, tahun 2016 akan menjadi tahun yang mencabar dan padat bagi Daerah Polis Tutong dalam memastikan trend penurunan kadar jenayah seperti yang diharapkan.

Oleh itu, pelbagai program serta inisiatif telah diaturkan dan akan dilaksanakan mengikut peringkat, di antaranya melalui taklimat kesedaran, jerayawara pencegahan jenayah dan pendekatan bersama komuniti, jelas beliau lagi.

Menurutnya, bagi mencapai objektif untuk mengurangkan kadar jenayah yang berlaku pada tahun ini, Daerah Polis Tutong akan terus berusaha melibatkan kerjasama Jabatan Daerah Tutong melalui institusi penghulu dan ketua kampung bagi menangani isu keselamatan yang dihadapi sesebuah mukim dan kampung.

Di samping itu, Daerah Polis Tutong juga akan mempertingkatkan usaha dengan mengaturkan keberadaan pihak polis di tempat-tempat strategik yang kerap berlakunya jenayah seperti membuat rondaan dan sekatan jalan raya.

Majlis diikuti dengan penyampaian Pingat Perkhidmatan Polis dan sijil penghargaan kepada ahli-ahli Zumba oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong.

Bermula pada 22 Oktober 2015, Daerah Polis Tutong telah membuat inisiatif melalui program yang menjurus kepada Pendekatan Komuniti melalui Gerak Sihat dengan Gerakan Zumba.

Melalui inisiatif tersebut, Daerah Polis Tutong telah menubuhkan kumpulan zumba, ‘Keep it Simple’ dengan mengadakan aktiviti-aktiviti seumpamanya di dalam dan juga luar daerah.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada nalai-balai polis di bawah pemerintahan, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong sepanjang mengikuti aktiviti tahunan 2015.

ARTIKEL YANG SAMA