Tutong daerah destinasi

Tutong daerah destinasi

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 16 Sept – Seramai 50 orang ahli delegasi dari negara-negara Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA), hari ini, telah dibawa melawat Kampung Kiudang, Tutong.

Delegasi berkenaan, yang berada di negara ini bagi menghadiri Mesyuarat Kluster Pembangunan Bersama BIMP-EAGA ke-12, telah dialu-alukan oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Mesyuarat tiga hari yang bermula 14 September lalu hingga hari ini, dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Brunei Darussalam.

Awang Wardi menjelaskan, lawatan tersebut dapat memperkenalkan lagi Destination Tutong yang baru dirasmikan pada 30 Ogos lalu kepada orang ramai khususnya para pelancong yang ingin melawat ke negara ini.

Menerusi lawatan tersebut, jelas beliau, Destination Tutong dapat dijadikan sebagai platform yang dapat mempamerkan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan mengenalkan tempat-tempat menarik di Daerah Tutong.

Pegawai Daerah Tutong (enam kanan) bergambar ramai dengan para delegasi BIMP-EAGA.
Pegawai Daerah Tutong (enam kanan) bergambar ramai dengan para delegasi BIMP-EAGA.

Di samping itu, ia juga dapat memberi peluang kepada masyarakat dan penduduk kampung untuk bekerjasama dalam menyediakan beberapa perkhidmatan yang diperlukan, tambah beliau semasa ditemu bual oleh Media Permata.

Lawatan yang meliputi beberapa kawasan menarik yang terdapat di Kampung Kiudang seperti Gerai Muafakat Kampung Kiudang itu menyaksikan demonstrasi penyediaan dan pemerosesan Teh Herba 3 MPK serta lawatan ke tempat penginapan Seri Homestay.

Delegasi juga berpeluang menyaksikan koleksi peribadi dan barang-barang lama di Galeri Ariffin yang dimiliki oleh seorang warga emas aktif di kampung berkenaan.

Lawatan juga mengetengahkan konsep Pelancongan Islam dengan menyaksikan seni penulisan khat jawi dan kelas bimbingan agama yang dikendalikan oleh Badan Kebajikan Saudara-saudara Baru Kampung Kiudang (BASKIM).

Rombongan seterusnya menikmati ketenangan, keindahan dan keunikan yang terdapat di Taman Rekreasi Wasai Bedanu dan melawat salah sebuah ladang limau manis yang diusahakan oleh salah seorang penduduk kampung berkenaan di sebelah petang.

Delegasi turut melawat Gerai Muafakat Kampung Kiudang.
Delegasi turut melawat Gerai Muafakat Kampung Kiudang.
Delegasi menyaksikan demonstrasi penyediaan dan pemprosesan Teh Herba 3 MPK.
Delegasi menyaksikan demonstrasi penyediaan dan pemprosesan Teh Herba 3 MPK.

Menurut salah seorang delegasi dari Malaysia, Mary Malanging, lawatan tersebut telah memberi mereka peluang untuk menyaksikan lebih dekat potensi pelancongan dan pembangunan ekonomi di negara ini.

Beliau juga meluahkan kekaguman dengan lawatan yang diadakan seperti penyediaan dan pemprosesan teh herba yang berjaya di negara ini, dan berkata, melalui lawatan ini, ia akan dapat menerapkan idea bagaimana untuk meningkatkan lagi perekonomian negara.

Sebagai memperingati lawatan rombongan tersebut, acara penanaman pokok juga telah diadakan oleh setiap ketua delegasi BIMP-EAGA.

Antara tujuan lawatan adalah untuk melihat lebih dekat lagi potensi yang terdapat di Kampung Kiudang yang menyertai Anugerah Kampung Cemerlang anjuran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan merupakan salah sebuah kampung yang terpilih sebagai Community-Based Eco-Tourism (CBET) di bawah BIMP-EAGA.

ARTIKEL YANG SAMA