Tutong Food Con dapat sambutan

Tutong Food Con dapat sambutan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 7 Sept – Tutong Food Con Perayaan 69 yang diadakan di kawasan ruang legar Hua Ho Petani Mall, Tutong, sejak 28 Ogos lalu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan, yang mana atas permintaan orang ramai, acara yang sepatutnya berakhir pada 30 Ogos itu telah dilanjutkan sehingga kelmarin (6 Sept).

Menurut kenyataan Jawatankuasa Tertinggi Perayaan Daerah Tutong, Food Con Perayaan 69 itu adalah untuk mengambil sukut baik Pelancaran Destinasi Tutong yang telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, baru-baru ini.

Tutong Food Con merupakan antara acara yang telah disusun oleh Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Perayaan Daerah Tutong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 bagi Daerah Tutong yang bertujuan untuk memeriahkan lagi acara-acara sambutan perayaan di daerah ini.

Mula diperkenalkan pada 19 Oktober 2014 dengan kerjasama My Kitchen Box iaitu selaku ketua penyelaras kumpulan pengusaha-pengusaha makanan secara ‘online’ di Daerah Tutong dan disokong oleh ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Tutong serta pihak Syarikat Hua Ho Petani Mall, Tutong selaku penyedia kawasan.

Pemilik salah satu petak jualan mempamerkan produk jualan mereka.
Pemilik salah satu petak jualan mempamerkan produk jualan mereka.

Sejak penubuhan projek berkenaan, ia telah berfungsi sebagai platform yang berkesan dan memenuhi cita rasa dan iklim perniagaan pada masa ini khususnya dalam kalangan belia remaja serta para penduduk dan masyarakat di daerah ini yang ingin berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Melaluinya juga, mereka berpeluang mengetengahkan produk masing-masing dan memperbaiki mutu jualan mereka yang dinilai bukan sahaja daripada segi mendatangkan faedah keuntungan malah membuka peluang perniagaan yang luas di samping peluang pekerjaan yang berpotensi dan lebih berdaya saing.

Menurut kenyataan itu lagi, Daerah Tutong sebagai daerah destinasi yang baru, boleh menawarkan pelbagai tempat bersesuaian untuk kunjungan semua golongan dan peringkat umur serta mempunyai pelbagai acara yang menarik, ‘siok’ dan ‘happening’.

Pengunjung sama ada boleh terus pergi ke tempat-tempat berkenaan atau mengikuti pakej pelancongan yang ditawarkan sendiri di bawah Program Tutong Destination yang dikendalikan oleh Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong melalui Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA