Tutong FoodCon terus dapat sambutan baik

Tutong FoodCon terus dapat sambutan baik

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 Nov – Tutong Food Convention atau lebih dikenali dengan Tutong FoodCon, yang telah dianjurkan lagi bermula 30 Oktober lalu hingga hari ini, di Ruang Legar Hua Ho, Petani Mall Tutong terus mendapat sambutan baik daripada para pengusaha dan orang ramai.

Acara anjuran Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong dengan Pengurus My Kitchen Box serta Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Tutong ini juga akan diadakan pada 29 November hingga 1 Disember dan 29 hingga 31 Disember 2015 nanti.

Salah seorang peniaga yang ditemui pada acara itu, Dayang Juraidah binti Awang A.Razak yang mengusahakan 9 Borneo Cafe, melahirkan perasaan amat teruja dengan kehadiran orang ramai.

Menerusi FoodCon ini, katanya, ia bukan sahaja memberi peluang orang ramai merasakan makanan mereka bahkan memberikan keuntungan kepada mereka dalam memperkenalkan cucur pisang berkeju dari Sabah.

Dayang Juraidah yang berasal dari Sabah, melahirkan harapan agar acara ini akan dapat diteruskan lagi dari semasa ke semasa agar orang ramai khususnya penduduk di Daerah Tutong tidak perlu pergi jauh membeli makanan kegemaran mereka.

Acara Tutong FoodCon yang dijalankan di Ruang Legar Hua Ho Petani Mall Tutong mendapat sambutan memberangsangkan.
Acara Tutong FoodCon yang dijalankan di Ruang Legar Hua Ho Petani Mall Tutong mendapat sambutan memberangsangkan.
Dayang Juraidah yang menyertai acara Tutong FoodCon turut mempromosikan cucur pisang berkeju dari Sabah.
Dayang Juraidah yang menyertai acara Tutong FoodCon turut mempromosikan cucur pisang berkeju dari Sabah.

Tutong FoodCon yang bertemakan ‘Menyatupadukan Masyarakat’ (Unite the Community) ini bukan sahaja bertujuan untuk mengetengahkan produk-produk tempatan malahan memperbaiki mutu jualan yang dinilai mendatangkan faedah daripada segi keuntungan melalui peluang-peluang perniagaan yang luas dan peluang-peluang pekerjaan yang berpotensi serta lebih berdaya saing.

Acara juga adalah bagi mendokong program-program Jabatan Daerah Tutong yang menjurus kepada mempromosikan Daerah Tutong sebagai ‘Daerah Destinasi’.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyediakan satu platform bagi mengangkat pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana di daerah ini di samping menyediakan tempat kunjungan orang ramai khususnya semasa cuti penggal akhir persekolahan yang akan datang.

Tutong FoodCon merupakan antara program yang telah disusun di bawah program Destinasi Tutong bagi bulan November dan Disember 2015.

ARTIKEL YANG SAMA