Tutong Foto Maraton 24 Nov ini

Tutong Foto Maraton 24 Nov ini

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 23 Sept – Jabatan Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Badan Penyelaras Promosi Pelancongan Daerah Tutong akan mengadakan Tutong Foto Maraton 2016 bersempena Cuti-cuti Tutong bermula 24 hingga 29 November ini.

Penyertaan dibukakan kepada rakyat dan penduduk negara ini, yang terdiri daripada golongan jurugambar profesional dan bukan profesional, pelajar dan penuntut serta individu yang berminat dalam seni fotografi.

Dua kategori dibukakan untuk pertandingan ini iaitu kategori individu dengan yuran penyertaan $5 dan kategori kumpulan iaitu terdiri daripada tiga peserta dan tidak melebihi lima peserta yang berumur 12 tahun ke atas, dengan dikenakan bayaran $45.

Borang penyertaan bolehlah didapati menerusi laman sesawang https://form.jotform.me/tutong/tpmf atau di laman sosial Facebook Tutong Destination dengan menekan butang ‘sign up’ atau ‘contact us’.

Tarikh tutup penyertaan pada jam 11:59 malam, 8 November 2016. Para peserta kedua-dua kategori itu akan berpeluang mengikuti seminar fotografi yang disediakan sebelum dan ketika acara berlangsung.

Acara ini merupakan projek kedua dalam program Destinasi Tutong selepas Hari Warisan Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong yang diperkenalkan sejak tahun 2015, dengan tujuan untuk memperluaskan promosi dan pendedahan tempat-tempat menarik yang terdapat di mukim dan kampung di Daerah Tutong kepada masyarakat domestik dan luar negara.

Ia juga dihasratkan meningkatkan produktiviti perekonomian masyarakat di Daerah Tutong yang memfokuskan kepada usaha majlis perundingan mukim dan kampung di Daerah Tutong melalui produk di bawah Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

Antara lain tujuan dan matlamat acara ini dianjurkan adalah bagi memantapkan sistem promosi Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong menerusi sumbangan gambar-gambar dan video daripada para peserta acara yang mempunyai nilai komersial bertaraf pelancongan yang boleh diguna pakai sebagai bahan promosi.

ARTIKEL YANG SAMA