Tutong Hotspurs benam Kebia FC 4-1

Tutong Hotspurs benam Kebia FC 4-1

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 26 Okt – Tutong Hotspurs FT mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas pencabarnya dalam Kumpulan B Liga Persatuan Bola Sepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA) DST 2015 iaitu Kebia FC.

Muhd Amirul Hamrey bin Mohd Norshaney membawa Tutong Hotspurs FT ke depan seawal minit ke-11 sebelum Sam Frank Ford menyudahkan separuh masa pertama itu dengan jaringan 2-0 menerusi jaringannya pada minit ke-42.

Tutong Hotspurs FT meneruskan penguasaannya pada separuh masa kedua dan mereka tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Sam Frank Ford mencetak gol kedua peribadinya pada minit ke-56 iaitu hanya sebelas minit selepas rehat untuk kini mendahului 3-0.

Ketika keadaan perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu dilihat hanya memihak Tutong Hotspurs FT, Kebia FC mendapat talian hayatnya apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-81 dan disempurnakan oleh Asmali bin Masri pada minit ke-82 untuk keduduan berubah menjadi 3-1.

Tutong Hotspurs FT menang 4-1 ke atas Kebia FC dalam saingan Liga TDAFA-DST 2015.
Tutong Hotspurs FT menang 4-1 ke atas Kebia FC dalam saingan Liga TDAFA-DST 2015.

Namun kemungkinan kebangkitan akhir Kebia FC itu dimusnahkan dengan jaringan keempat Tutong Hotspurs FT pada minit ke-86 yang disumbangkan oleh Aleix Asmawi Pergi untuk pasukannya kembali mendahului dengan tiga jaringan.

Kedudukan 4-1 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat perlawanan.

Lima lagi pasukan yang turut bersaing dalam Kumpulan B dalam liga yang telah bermula sejak 25 September lalu itu ialah MPK Bendanu FC, PMS, Kamai Kiudang FC, 3PML dan Azmainshah.

Sementara itu lapan buah lagi pasukan lain yang turut mengambil bahagian dalam liga berkenaan dan bersaing dalam Kumpulan A iaitu MPK Bukit Panggal, Bang Dalam FC, Kilugus FC, Perda FC, Belabau FFT, Kiudang Mungkom FC, Sinar FC dan Bamit FC.