Twitter beri amaran akaun disasar penggodam

Twitter beri amaran akaun disasar penggodam

WASHINGTON, 14 Dis (AFP) – Twitter telah memberi amaran kepada sebilangan penggunanya bahawa akaun mereka pada platform mesej mungkin menjadi sasaran ‘penggodam ditaja kerajaan.”

Tidak jelas berapa ramai pengguna menerima amaran itu, yang dikeluarkan pada hujung minggu dan amaran itu adalah yang pertama seumpamanya bagi Twitter.

Coldhak, sebuah kumpulan bukan untung di Kanada, telah menghantar salinan amaran yang dihantar oleh Twitter kepada mereka.

Mesej itu mengatakan “Sebagai langkah berwaspada, kami memberi amaran bahawa akaun Twitter anda adalah salah sebuah dari kumpulan kecil akaun yang mungkin menjadi sasaran pelaku-pelaku yang ditaja kerajaan.”

“Kami percaya pelaku-pelaku ini (mungkin mempunyai kaitan dengan kerajaan) mungkin cuba mendapatkan maklumat seperti alamat e-mel, alamat IP dan/atau nombor telefon.”

Amaran itu mengatakan pada masa ini ‘tidak ada bukti mereka telah mendapatkan maklumat akaun anda, tetapi kami dengan aktif menyiasat perkara ini.”

Twitter berkata ia tidak mempunyai maklumat lanjut yang boleh diberikan ‘pada masa ini.”

Amaran pertama Twitter itu dikeluarkan pada hari Jumaat.

Anggota Twitter, Stribika, yang menyifatkan dirinya sebagai jurutera perisian, juga telah menghantar salinan surat amaran itu – dan juga jawapan.

“(#Kepada pelaku-pelaku tajaan kerajaan, anda membuang masa anda dengan saya. Anda tidak akan mendapat IP saya atau nombor telefon saya dengan cara ini,” tulisnya.

Twitter telah memberi amaran kepada para pengguna sebelum ini tentang pencabulan keselamatan, termasuklah pada Februari 2013 apabila ia memberi amaran kepada lebih 200,000 pengguna bahawa kata laluan mereka dan juga alamat e-mel mereka mungkin terjejas.