Twitter perkenalkan ‘Mesej Langsung’

Twitter perkenalkan ‘Mesej Langsung’

SAN FRANCISCO, 13 Ogos – Twitter semalam membatalkan had huruf untuk mesej langsung yang dihantar di antara pengguna, sambil berkata ia akan membantu bahagian Twitter “lebih berpengaruh dan menyeronokkan.”

Hasilnya, mesej persendirian berkenaan tidak perlu mempunyai had 140-huruf yang digunakan untuk tweet.

“Sekarang anda boleh berbual dalam Mesej Langsung, dan mungkin masih mempunyai beberapa huruf yang tinggal,” kata pengurus produk Sachin Agarwal dalam siaran blog.

“Sementara Twitter merupakan satu pengalaman awam, Mesej Langsung membenarkan anda mengadakan perbualan peribadi mengenai kebudayaan, berita, pergerakan dan acara yang berlaku di Twitter,” tambah Agarwal. “Perubahan hari ini adalah satu lagi langkah besar untuk menjadikan Twitter lebih berpengaruh dan menyeronokkan.”

Untuk sekarang, perubahan tersebut dikenakan kepada pengguna Twitter dengan alat peranti Android dan Apple, Internet di twitter.com atau di aplikasi TweetDeck, walaupun Agarwal berkata perubahan “akan terus dilaksanakan di seluruh dunia dalam tempoh beberapa minggu akan datang.” Had masih dikenakan kepada mereka yang menghantar mesej menerusi SMS.

Tindakan itu diambil tatkala syarikat di California itu melihat pertumbuhan lembap dalam pangkalan penggunanya berbanding dengan rangkaian sosial lain dan menghadapi tekanan baru ke atas sahamnya apabila ia berusaha mendapatkan seorang ketua eksekutif baru.

Saham Twitter merosot 1.3 peratus dalam perniagaan tengah hari, setelah berpulih daripada minggu lalu, apabila mereka mencecah tahap paling rendah sejak pasaran saham syarikat disenaraikan pada akhir 2013. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA