Twitter tutup 235,000 akaun promosi keganasan

Twitter tutup 235,000 akaun promosi keganasan

SAN FRANCISCO, 19 Ogos –Twitter kelmarin mengumumkan bahawa ia telah menutup sehingga 235,000 akaun sejak enam bulan lalu kerana menyebarkan dan mempromosikan keganasan.

Penutupan itu menyusul selepas serangan ganas besar-besaran, kata Twitter. “Hari ini, kami mengumumkan penggantungan 235,000 akaun kerana melanggar dasar kami berkaitan mempromosikan keganasan dalam masa enam bulan sejak Februari 2016,” menurut kenyataan Twitter.

Ia adalah langkah terbaru gergasi teknologi itu sejak ia mula mengesan salah guna media sosial oleh anggota pengganas dan penyokongnya tahun lalu. Keseluruhan bilangan akaun yang ditutup sejak Jun 2015 kini berjumlah 360,000.

Twitter didorong bertindak kepada penggunaan perkhidmatan itu oleh mereka yang berkongsi propaganda pengganas berikutan serangan yang menggegarkan Eropah, Asia Barat dan Amerika Syarikat.

“Sejak pengumuman itu, dunia menyaksikan gelombang serangan ganas di seluruh dunia. “Kami mengutuk keras tindakan ini dan kekal komited menghapuskan usaha mempromosikan keganasan di saluran ini,” kata Twitter.

Gambar fail 18 Oktober 2013 menunjukkan aplikasi Twitter pada skrin iPhone di New York. Twitter kelmarin mengumumkan telah menutup 235,000 akaun sejak enam bulan lalu kerana menyebarkan dan mempromosikan keganasan. – AP
Gambar fail 18 Oktober 2013 menunjukkan aplikasi Twitter pada skrin iPhone di New York. Twitter kelmarin mengumumkan telah menutup 235,000 akaun sejak enam bulan lalu kerana menyebarkan dan mempromosikan keganasan. – AP

Berikutan serangan berganda di lapangan terbang dan stesen kereta api bawah tanah di Brussels pada Mac 2016, tweet mengenai ancaman seterusnya mula merebak di online, termasuk Twitter.

Penggantungan harian akaun lebih daripada 80 peratus sejak tahun lepas, dan terus meningkat sejurus selepas serangan ganas, menurut Twitter.

Twitter berkata ia semakin pantas mengenal pasti kandungan pelampau dan menutup akaun yang terlibat, menyebabkan penurunan dramatik dalam bilangan pengikut walaupun posting masih aktif.

Langkah itu menyebabkan dalang-dalang keganasan menjadi lebih sukar untuk segera kembali ke Twitter, dan pasukan mengkaji laporan kandungan keganasan telah diperluaskan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA