UAE hapuskan subsidi minyak

UAE hapuskan subsidi minyak

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) – Penghapusan subsidi bahan api di Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan membantu mengukuhkan paras fiskal negara itu memandangkan hakikat ia mewakili sebahagian besar daripada perbelanjaan fiskal tahunannya.

Agensi penarafan kredit, RAM Ratings Services Bhd, memberikan penarafan gAA2(pi)/Stabil dan seaAAA(pi)/Stabil) kepada UAE.

RAM Ratings berkata subsidi petroleum UAE yang besar berjumlah kira-kira 26 bilion dirham Emiriah Arab Bersatu, mencakupi 6.6 peratus daripada hasil atau 1.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK).

“Harga minyak berada dalam aliran menurun sejak separuh pertama tahun lepas dengan harga minyak mentah Brent ketika ini berjumlah US$53 setong, memberi tekanan kepada paras fiskal UAE kerana lebih 70 peratus hasil kerajaan dijana daripada aktiviti berkaitan minyak dan gas,” kata agensi itu.

RAM Ratings juga berkata penjimatan daripada pemotongan perbelanjaan akan membantu mengecilkan defisit fiskal, yang dijangkakan tahun ini, kepada 1.9 peratus daripada KDNK daripada anggaran awal 2.9 peratus.

“Penghapusan subsidi itu merupakan langkah berani bagi mengukuhkan kewangan kerajaan dan UAE merupakan negara pertama di rantau Majlis Kerjasama Teluk melaksanakan penghapusan subsidi bahan api,” kata agensi penarafan itu.

ARTIKEL YANG SAMA