Ubah cara berfikir

Ubah cara berfikir

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – ‘Transformasi ke Arah Perkhidmatan Awam yang Progresif’ menjadi tema sambutan Hari Perkhidmatan Awam tahun ini yang mengetengahkan perkhidmatan awam di negara ini kini berada pada zaman yang serba mencabar dan mengalami pelbagai perubahan.

Cabaran dan perubahan ini sebahagian besarnya berkait rapat dengan survival bangsa dan negara pada masa hadapan dengan arus globalisasi mengakibatkan perubahan isu sosioekonomi, bukan sahaja dihadapi oleh sesebuah negara, bahkan juga menjadi satu isu global.

Memandangkan pergantungan di antara negara-negara adalah satu realiti, agenda utama bukan sahaja dari segi perdagangan dan perhubungan, bahkan juga dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tema berkenaan memberi penekanan kepada kepentingan perkhidmatan yang berdaya maju untuk menyediakan ekosistem dan persekitaran terbaik bagi rakyat negara ini.

Transformasi membawa erti responsif terhadap aspirasi dan lebih prihatin kepada keperluan masyarakat termasuk transformasi cara berfikir dan bertindak dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan bagi merealisasikan wawasan negara.

Dato Paduka Haji Mohd Roselan turut hadir semasa majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan turut hadir semasa majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja.
Lebih 300 pegawai dan kakitangan di Jabatan Perkhidmatan awam dan agensi-agensi kerajaan hadir di majlis bertahlil berkenaan.
Lebih 300 pegawai dan kakitangan di Jabatan Perkhidmatan awam dan agensi-agensi kerajaan hadir di majlis bertahlil berkenaan.

Untuk merealiasikan Wawasan Brunei 2035, warga perkhidmatan awam perlulah bersedia mengubah cara berfikir daripada cara lama yang boleh mengongkong kemajuan kepada cara positif dan konstruktif selaras dengan kemajuan dan kehendak semasa dan akan datang.

Oleh itu, warga perkhidmatan awam haruslah berfikiran secara proaktif di samping bersikap adaptif dan responsif terhadap perubahan persekitaran serta mampu berhadapan dengan realiti.

Menurut kenyataan JPA itu lagi, dalam era perubahan yang pantas, warga perkhidmatan awam hendaklah memiliki ‘Attitude of Mind’ yang kreatif dan inovatif dalam menghadapi cabaran pada alaf baru. Dengan keupayaan seperti ini, mereka akan dilengkapi daya fikir yang tinggi serta mempunyai kemahuan dan keberanian membuat perubahan.

Justeru, adalah perlu bagi agensi perkhidmatan awam sentiasa mementingkan budaya kerja yang dinamik, kreatif dan progresif serta berkomitmen tinggi dalam melaksanakan pembaruan dan penambahbaikkan yang berterusan.

Hal ini amat penting dan juga ditekankan dalam Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke-21 supaya perkhidmatan awam sentiasa membangun dan maju mengikut kemampuan serta keupayaannya sendiri berlandaskan ajaran dan akidah Islam yang diredhai Allah S.W.T dalam keadaan dan suasana yang aman, makmur, tenteram di bawah perlindungan-Nya.

JPA juga menekankan, Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke-21 menghendaki setiap agensi kerajaan supaya sentiasa melaksanakan transformasi dan penambahbaikan yang progresif ke atas tiga fokus utama iaitu struktur organisasi, dasar dan perlakuan organisasi.

Sehubungan dengan itu, sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-23 tahun ini, JPA petang tadi telah mengadakan Majlis Bertahlil dan Membaca Surah Yasin bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.

Mengetuai bacaan Tahlil ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Faizal bin Rosli.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud dan Timbalan Menteri (Keselamatan dan Media) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar.

ARTIKEL YANG SAMA