Ubah pelajar ke arah lebih baik

Ubah pelajar ke arah lebih baik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Sepanjang menyertai perkhemahan Kem Qiadah XII, para pesertanya jelas menunjukkan perubahan sikap positif di mana mereka lebih riang, mampu menjaga disiplin diri, dapat mengawal masa dengan baik serta bersikap lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka.

Di samping itu, mereka juga komited untuk terlibat secara aktif, bersemangat waja serta memberikan sumbangan dalam kerja berpasukan sambil mengamalkan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Perubahan sikap positif para peserta kem kepimpinan itu merupakan permulaan bagi mereka untuk menjadi seorang pelajar excelsior iaitu berilmu, berakhlak terpuji, berpandangan jauh, berwawasan, berjaya dalam kehidupan, mementingkan aspek ukhrawi serta falsafah negara Melayu Islam Beraja.

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengetua Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Hajah Hashimawati binti Haji Mohamad ketika berucap pada Majlis Penutup Kem Qiadah XII yang berlangsung di Auditorium Maktab Sains, hari ini.

Kem Qiadah XII, yang membawa tema ‘Remaja Berwibawa Kebanggaan Negara’, setentunya akan melahirkan belia yang bersikap positif, kreatif dan inovatif, mahir dalam pengurusan diri, amalan rohani, berorganisasi serta mampu memimpin.

Kumpulan para peserta membuat persembahan Science Edutainment bagi menyerikan lagi majlis penutup kem berkenaan.
Kumpulan para peserta membuat persembahan Science Edutainment bagi menyerikan lagi majlis penutup kem berkenaan.

Perkhemahan selama tiga hari dua malam itu, bermula 16 Mac dan berakhir hari ini, disertai oleh kira-kira 180 orang peserta di mana sepanjang perkhemahan, mereka berpeluang untuk mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan mencabar yang mampu menjadikan mereka lebih matang, berfikiran terbuka dan berpandangan jauh.

Kem Qiadah XII yang merupakan inisiatif Maktab Sains untuk memberikan pendedahan kepada para pelajarnya mengenai pengalaman kehidupan harian serta dapat melahirkan pemimpin masa hadapan yang berketerampilan, tahan lasak, berdaya saing dan memiliki jati diri yang kukuh.

Selain itu, ia juga merupakan sebagai komitmen pihak maktab kepada masyarakat untuk mempromosikan gaya hidup yang sihat dan aktif.

Melalui pelbagai kegiatan berkumpulan sepanjang kem itu, ia dipercayai mampu untuk memperkayakan lagi pengalaman dan kemahiran serta keyakinan diri para peserta melalui kegiatan-kegiatan yang dijalankan yang menitikberatkan aspek fizikal, mental dan emosi.

Semasa perkhemahan itu, para pelajar berpeluang untuk menerokai Bandar Seri Begawan melalui kegiatan BSB Rendezvous dan mengikuti kegiatan lasak yang menguji ketahanan fizikal mereka dalam acara Cabaran Bukit Shahbandar.

Para peserta juga berpeluang menyertai pelbagai kegiatan menarik bertemakan Sains yang dikendalikan oleh kumpulan Whizzers dari Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) di mana para pelajar dapat menggilap kemahiran dan bakat mereka dalam bidang nyanyian, lakonan dan juga Sains.

Perkhemahan itu bermatlamat untuk melatih para peserta untuk berdikari, tahan lasak, berdisiplin dan berdaya saing, membina keyakinan diri, bertolak ansur dan bekerjasama, mendidik mereka untuk memanfaatkan masa dengan menyertai kegiatan yang berfaedah, menggilap bakat kepimpinan yang berketerampilan serta membina jati diri sebagai tunas bangsa yang bakal menjadi pemimpin.

ARTIKEL YANG SAMA