Ubat dirampas

Ubat dirampas

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) – Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan merampas ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM830,663 sepanjang Operasi Pangea VIII dari 9 Jun hingga 16 Jun, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah itu, 283 bungkusan pos dan kurier bernilai RM405,833 dirampas manakala 295 laman web dan laman sosial disiasat dan diambil tindakan kerana didapati menjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar, dicampur racun mahupun kosmetik tidak bernotifikasi, katanya.

“Antara produk utama yang dikesan dan dirampas adalah produk perangsang seks, pelangsing badan, kosmetik dan produk tradisional dicampur racun yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan pusat mel dan kurier, lapangan terbang, pos sempadan, terminal feri dan sebagainya.

Beliau berkata di peringkat antarabangsa, Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan bersama-sama 236 agensi penguatkuasaan dari 115 negara mengambil bahagian dalam satu operasi pada tempoh yang sama untuk menangani rangkaian jenayah di sebalik penjualan ubat-ubatan melalui internet.

Hasil operasi itu, sebanyak 20.1 juta ubat-ubatan yang dipercayai boleh membahayakan pengguna dirampas.

ARTIKEL YANG SAMA