UBD ‘A’ johan Bola jaring

UBD ‘A’ johan Bola jaring

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Kejohanan Bola Jaring antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anjuran Politeknik Brunei (PB) sempena Konvokesyen Ke-2 Politeknik Brunei, 2016 berakhir dengan kejuaraan menjadi milik Universiti Brunei Darussalam (UBD) ‘A’.

Pada perlawanan akhir bagi kejohanan yang mengambil tempat di Sekolah Sukan itu, UBD ‘A’ menakluki lawannya, Diversity Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan jaringan 25-10 untuk menyerahkan gelaran naib juara kepada Diversity UNISSA.

Dalam kejohanan yang disertai 12 buah pasukan yang mewakili sembilan buah IPT yang telah dibahagikan kepada dua kumpulan berkenaan, Institut Teknologi Brunei (ITB) 1 telah memenangi tempat ketiga. Tiga pasukan terbaik masing-masing telah menerima piala, pingat dan sijil.

UBD ‘A’ bukan saja meraih gelaran juara tetapi juga terpilih untuk menerima Anugerah Pasukan Terbaik. Selain anugerah berkenaan, tiga anugerah individu juga turut disediakan oleh pihak penganjur iaitu Pertahanan Terbaik, Penjaring Terbaik dan Pemain Paling Bernilai.

Gambar ramai bersama peserta dari kumpulan UBD ‘A’ (biru) dan Diversity UNISSA (hitam) dengan penganjur dan wakil ITB (merah jambu).
Gambar ramai bersama peserta dari kumpulan UBD ‘A’ (biru) dan Diversity UNISSA (hitam) dengan penganjur dan wakil ITB (merah jambu).

Anugerah tertinggi bagi pemain iaitu Pemain Paling Bernilai (Most Valuable Player – MVP) telah menjadi milik pemain UBD ‘A’, Hajah Masriatol Zuraifah binti Haji Sajali.

Anugerah Pertahanan Terbaik diberikan kepada pemain Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam (SVNR), Dayangku Ummi Ramizah binti Pengiran Haji Jeludin, manakala pemain Diversity UNISSA, Nur Farhanah binti Suhib diumumkan selaku penerima Anugerah Penjaring Terbaik.

Sembilan buah IPT yang telah menyertai kejohanan itu ialah PB, UBD, ITB, UNISSA, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Institute of Graduate Studies (IGS), Sekolah Perdagangan, SVNR dan Micronet International College (MIC).

ARTIKEL YANG SAMA