UBD ‘A’ Juara Berpasukan IPT

UBD ‘A’ Juara Berpasukan IPT

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Universiti Brunei Darussalam (UBD) ‘A’ muncul juara Acara Berpasukan Kejohanan Badminton Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) UBD 2015 selepas menang 3-2 ke atas Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) di perlawanan akhir malam tadi.

Dalam persaingan sengit di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan itu, KUPU SB memenangi Perseorangan Lelaki dan Beregu Lelaki sementara UBD ‘A’ memenangi Perseorangan Wanita dan Beregu Wanita untuk kedudukan terikat 2-2 sehingga memaksa Beregu Campuran menjadi penentu yang akhirnya memihak kepada UBD ‘A’.

Kemenangan itu membolehkan UBD ‘A’ merangkul kejuaraan, manakala KUPU SB terpaksa berpuas hati muncul naib juara. Merangkul tempat ketiga Kategori Berpasukan yang disertai tujuh buah pasukan itu ialah Politeknik Brunei.

Sementara itu dalam Acara Individu, Kategori Perseorangan Lelaki dijuarai oleh Ahmad dari KUPU SB selepas dia menang ke atas Mahyuddin dari Kolej IGS dalam perlawanan akhir.

Awang Saidai (depan, tujuh kiri) bersama para pemenang dan AJK  kejohanan.
Awang Saidai (depan, tujuh kiri) bersama para pemenang dan AJK kejohanan.
Awang Saidai (kiri) bersama-sama Mohd Ali Sabri dan tiga pemain terbaik Acara Perseorangan Wanita.
Awang Saidai (kiri) bersama-sama Mohd Ali Sabri dan tiga pemain terbaik Acara Perseorangan Wanita.

Fakhrul Syakirin dan Mohd Fairie Shah dari Laksamana College of Business (LCB) pula menjuarai Kategori Beregu Lelaki hasil kemenangan ke atas pasangan dari KUPU SB, Haji Abdul Razak dan Menghindrawardi di gelanggang akhir.

Dua tempat teratas Kategori Perseorangan Wanita pula dibolot atlet UBD namun kejuaraan menjadi milik Nuraqilah Shahroney apabila dia menewaskan rakannya, Sazelina Haji Mohd Sa’at semasa final.

Perlawanan akhir Kategori Beregu Wanita menyaksikan pertembungan antara beregu UBD, dengan emas diraih Nuraqilah Shahroney dan pasangannya, Sazulrinah Haji Mohd Sa’at, manakala Sazelina Haji Mohd Sa’at dan pasangannya, Janey Koh Yen Yen memenangi perak.

Gandingan mantap Mohd Fairie Shah dari LCB dengan Noor Nekma Rainah dari Micronet pula memastikan kejuaraan Kategori Beregu Campuran menjadi milik mereka selepas mereka menundukkan beregu dari UBD, gandingan Raymond dan Janey.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Dekan Pelajar UBD, Awang Saidai bin Haji Hitam, sambil diiringi Pegawai Kegiatan Luar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UBD, Mohd Ali Sabri bin Haji Abang.

Seramai 67 pemain dari UBD ‘A’, UBD ‘B’, Politeknik Brunei, Kolej IGS, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), KUPU SB dan LCB telah menyertai Kategori Berpasukan. Manakala 70 lagi pemain menyertai Kategori Individu iaitu 8 pemain Perseorangan Lelaki, 4 pemain Perseorangan Wanita, 26 pemain dari 13 beregu dalam Beregu Lelaki, 12 pemain dari 6 beregu dalam Beregu Wanita dan 20 pemain dari 10 pasangan dalam Beregu Campuran.

Kategori Berpasukan telah dibahagikan kepada dua kumpulan dan selepas melalui liga satu pusingan dalam kumpulan masing-masing hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir. Kategori Individu pula dijalankan secara kalah mati dari peringkat awal hingga akhir.