UBD anjur Persidangan Sains Perubatan

UBD anjur Persidangan Sains Perubatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas Indonesia (UI) akan menganjurkan Persidangan Sains Perubatan Malaysia-Indonesia-Brunei ke-9 pada 11 hingga 13 Jun depan di bangunan tambahan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB).

Menurut kenyataan UBD, persidangan tiga hari itu menjemput para profesional penjagaan kesihatan, penyelidik dan mereka yang berminat di tiga-tiga buah negara untuk bertukar-tukar pengetahuan dan idea dalam bidang sains perubatan.

Dengan tema ‘Pendekatan Antara Disiplin dalam Penyelidikan Penjagaan Kesihatan’, persidangan itu akan membincangkan pelbagai topik berkaitan dengan penjagaan kesihatan termasuk pendidikan perubatan, kanser, kesihatan ibu dan anak, obesiti dan diabetes, penyakit berjangkit, penyelidikan kesihatan dan penjagaan kesihatan global, pemakanan dan makanan, dan perspektif Islam dalam penjagaan kesihatan.

Bayaran pendaftaran bagi peserta adalah $250 bagi persidangan dan $100 bengkel selepas persidangan, bagaimanapun para pelajar menerima kadar diskaun $150 bagi persidangan dan $50 bagi bengkel.

Borang pendaftaran boleh dimuat turun di laman sesawang http://ihs.ubd.edu.bn.

ARTIKEL YANG SAMA