UBD anjur pidato bahasa Jepun

UBD anjur pidato bahasa Jepun

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Pusat Bahasa Universiti Brunei Darussalam (UBD), Bahagian Pendidikan Komuniti (CED) Kementerian Pendidikan dan Pejabat Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam akan menganjurkan Pertandingan Pidato Bahasa Jepun ke-29 pada 29 Ogos ini.

Pertandingan yang akan diadakan di Bangunan ILIA, UBD bermula pada pukul 2.30 petang itu dibukakan kepada orang ramai yang berminat dan kemasukan adalah percuma.

Dalam kenyataannya, Kedutaan Jepun menyatakan seramai 14 rakyat Brunei akan mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu Kategori Baru, Kategori Lanjutan dan Kategori Terbuka.

Menurut kenyataan itu lagi, Kategori Baru dikhususkan kepada mereka yang telah belajar Bahasa Jepun kurang daripada dua tahun, Kategori Lanjutan bagi mereka yang tiada had tempoh mempelajari Bahasa Jepun tetapi mestilah tidak tinggal di Jepun bagi tempoh dua tahun sejak berumur enam tahun, manakala Kategori Terbuka tidak mengehadkan peserta dari segi tempoh belajar Bahasa Jepun dan tempoh tinggal di negara itu.

Bagi setiap kategori, peserta akan menyampaikan pidato mengenai beberapa topik, seperti ‘Sebuah Mimpi’, ‘Pengalaman Bernilai di Jepun’ dan ‘Pelancongan Brunei.’

Pertandingan pidato itu bertujuan untuk menggalakkan para peserta mengetengahkan kecekapan mereka bertutur dalam Bahasa Jepun, di samping bertindak sebagai penghubung untuk mendalamkan lagi jalinan antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun dan rakyat kedua-dua negara.

Hadiah utama bagi pertandingan itu ialah lawatan selama seminggu ke Jepun yang ditaja bersama oleh Syarikat Penerbangan All Nipon Airways manakala hadiah lain ditaja oleh Yayasan Jepun.

ARTIKEL YANG SAMA