UBD anjur SICON 5

UBD anjur SICON 5

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS) akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa ke-5 (SICON 5) pada 9 hingga 11 Mei 2016 ini di Dewan Kuliah, The Core, UBD.

Tema persidangan tahun ini ialah ‘Inovasi dan Keusahawanan dalam Pengajian Islam Kontemporari: Kemungkinan dalam berdepan Idea-Idea Tradisional Ijtihad, Tajdid, Islah dan Bid’ah.’

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kira-kira 15 orang penceramah antarabangsa dan tanah air akan membentangkan kertas kerja pada persidangan itu.

Kertas yang dibentangkan pada persidangan itu akan membincangkan mengenai pendekatan inovatif dan keusahawanan kepada pengajaran kontemporari pengajian Islam, memfokuskan kepada idea-idea baru dan gambar mengenai penambahbaikan bagi memenuhi keperluan masyarakat kontemporari.

Persidangan akademik ini juga bermatlamat untuk menjadi platform intelektual yang menyediakan ruang bagi perbincangan bermakna bukan sahaja dalam kalangan pakar-pakar akademia tempatan dan antarabangsa, malahan profesional dalam sektor kerajaan dan swasta.

Menurut kenyataan itu lagi, persidangan akan mengetengahkan perbincangan oleh pakar-pakar Islam dari seluruh dunia seperti Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Prof Dr Muzaffer Seker (Necmettin Erbakan University, Konya, Turki); Prof Dato Dr Jamil Othman (International Institute of Islamic Thought, East and Southeast Asia), dan Dr Muhammad Mansur Ali (Ebrahim College, London & Cardiff University), serta pembentang-pembentang terkemuka lain.

Perbincangan akan menyentuh mengenai isu-isu keusahawanan dalam kaitannya kepada pengajian Islam Kontemporari, yang dipengerusikan oleh Adna Shatriremie Haji A. Abdul Rahman dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, serta Perkampungan Keusahawanan, UBD.

Persidangan ini diadakan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Pusat Bagi Ekonomi Islam), Malaysia; Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT), Riyadh, Arab Saudi, Necmettin Erbakan University, Konya, Turki; Ebrahim College, London; Akademi Islam, Cambridge, UK; dan Universiti Fatoni, Thailand.

Ia dijangka dihadiri oleh para pegawai kerajaan, pensyarah, ilmuan, intelek dan para pelajar serta dibuka kepada peserta tempatan dan antarabangsa.

Sehubungan itu, individu yang berminat dialu-alukan mendaftar bagi persidangan ini. Bayaran pendaftaran akan meliputi bahan persidangan, yang termasuklah sijil penyertaan, makan tengah hari, dan minuman.

ARTIKEL YANG SAMA