UBD hos mesyuarat antara perpustakaan

UBD hos mesyuarat antara perpustakaan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) kini sedang menghoskan Mesyuarat Rangkaian Antara Perpustakaan Universiti ASEAN Dalam Talian (AUNILO) ke-12 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), UBD.

Mesyuarat bertema ‘Meningkatkan Kapasiti Sumber Elektronik di Perpustakaan: Menangani Trend, Isu dan Cabaran’ itu telah diungkayahkan dengan kerjasama Urus Setia AUNILO dan Urus Setia Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) dan AUNILO yang dianggotai oleh perpustakaan universiti dari negara-negara anggota ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam.

Sebanyak 23 buah universiti ahli AUNILO yang diwakili oleh pengarah-pengarah perpustakaan, ketua pustakawan dan ahli-ahli eksekutif AUNILO menghadiri mesyuarat berkenaan yang memberikan tumpuan bagaimana perpustakaan universiti membuat penilaian sumber-sumber elektronik secara berterusan dan mempromosi kesedaran dalam kalangan penggunanya.

Para peserta yang menyertai mesyuarat pagi kelmarin bergambar ramai. – Gambar Nuri Sufri
Para peserta yang menyertai mesyuarat pagi kelmarin bergambar ramai. – Gambar Nuri Sufri

Sempena mesyuarat ini juga, bengkel akan diadakan pada 26 dan 27 Mei ini dengan tema ‘Penilaian dan Penaksiran Sumber Elektronik di Perpustakaan Universiti’ yang akan dikendalikan oleh Heng Kai Leong dan Tamera Hanken dari Universiti Pengurusan Singapura dan Pustakawan Kanan Universiti Brunei Darussalam, Merhane Mohamed Salleh.

Bengkel ini diadakan untuk menarik perhatian para peserta bagi membuat penilaian penggunaan sumber-sumber elektronik secara berterusan dari pelbagai sudut seperti dari segi pelaburan, perkongsian, amalan terbaik dalam kalangan institusi pengajian tinggi dan banyak lagi.

Ia disasarkan kepada para pengarah perpustakaan, ketua-ketua pustakawan dan para pustakawan profesional.

ARTIKEL YANG SAMA