UBD hos Program Global Discovery ke-5

UBD hos Program Global Discovery ke-5

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Universiti Brunei Darussalam (UBD) semalam menerima kunjungan 28 pelajar dari empat universiti antarabangsa yang akan mengambil bahagian dalam Program Global Discovery (GDP) Ke-5.

Universiti-universiti yang mengambil bahagian ialah Universiti Mahasarakham dan Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat (UBRU) dari Thailand, Chinese University Hong Kong (CUHK) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dari Singapura.

Program Global Discovery adalah inisiatif oleh UBD melalui Pusat Pembelajaran Berterusan (CEC), yang menawarkan para pelajar antarabangsa untuk meneroka negara ini yang kaya dengan budayanya, selain menyediakan peluang pelajar meraih pengalaman kehidupan di Negara Brunei Darussalam.

Program tersebut bermula pada semalam sehingga 14 Jun depan.

Majlis mengalu-alukan ketibaan para peserta diadakan semalam, dengan perasmiannya disempurnakan oleh Pengarah CEC, Dr Yabit Alas.

Sesi bergambar ramai para pelajar dari empat  universiti antarabangsa yang akan menyertai Program Global Discovery.
Sesi bergambar ramai para pelajar dari empat universiti antarabangsa yang akan menyertai Program Global Discovery.

Dalam ucapannya Dr. Yabit berkata “Di bawah GDP, Discover Brunei Course (DBC) adalah amat unik kerana ia menyediakan kursus untuk memperkayakan pengetahuan anda di dalam dan di luar kelas.”

Beliau turut menyebut bahawa kursus tersebut merangkumi empat tema iaitu Bahasa dan Budaya, Sejarah Brunei, Perniagaan dan Industri serta Sains Hijau.

Sepanjang kursus, para pelajar akan belajar mengenai Brunei Darussalam melalui kuliah dan lawatan sambil belajar ke semua empat daerah.

Para peserta berpeluang membawa pulang ke tanah segala pengalaman berharga serta pengetahuan yang ditimba. Sesi GDP seterusnya akan berlangsung pada Ogos 2015.