UBD, ITB mara ke separuh akhir

UBD, ITB mara ke separuh akhir

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Juara bertahan, UBD menyudahkan aksi peringkat kumpulannya dalam Kumpulan A, Piala Universiti (Unicup) BIBD At-Tamwil 2015 tanpa bolos selepas seri tanpa jaringan dengan naib juara edisi lalu, ITB malam tadi.

Dengan keputusan seri pada perlawanan di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong itu, kedua-dua finalis edisi lalu berkenaan kekal tanpa kalah selepas masing-masing melalui empat perlawanan peringkat kumpulan dengan catatan tiga menang dan satu seri untuk sama-sama mengumpul 10 mata.

Namun ITB yang layak selaku Juara Kumpulan A dengan catatan 14 jaringan dan 4 bolos (+10 perbezaan gol) berbanding 6 jaringan tanpa bolos (+6 perbezaan gol) yang dicatat UBD.

Kini kedua-dua pasukan hanya perlu menunggu kepastian lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir nanti. ITB akan menentang Naib Juara Kumpulan B sementara UBD akan bersaing dengan Juara Kumpulan B.

Kemungkinan besar lawan UBD di separuh akhir nanti ialah Kolej IGS yang di atas kertas akan sukar dipintas lagi oleh pasukan lain dalam Kumpulan B dengan 100 peratus kemenangan mengumpul 9 mata dan 15 jaringan tanpa bolos.

ITB (putih) dan UBD (merah) terikat tanpa jaringan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan masing-masing malam kelmarin.
ITB (putih) dan UBD (merah) terikat tanpa jaringan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan masing-masing malam kelmarin.

Lawan terakhir Kolej IGS pada peringkat kumpulan ialah tempat kedua Kumpulan B setakat ini iaitu Cosmopolitan College (Cosmo) yang mengumpul 6 mata dari tiga perlawanan sambil mencatat 6 jaringan dan 4 bolos.

Selain Cosmo, Laksamana College of Business (Laksamana) juga masih berpeluang mara ke separuh akhir selepas mengejutkan Cosmo 2-1 pada 30 Mei baru-baru ini untuk mengumpul 4 mata, hanya dua mata di belakang Cosmo.

Laksamana (4 mata, 4 jaringan & 9 bolos dari 3 perlawanan) dan Cosmo (6 mata, 6 jaringan & 4 bolos dari 3 perlawanan) masing-masing masih memiliki satu perlawanan lagi iaitu Laksamana lawan KUPU SB pada petang 5 Jun, dan Cosmo lawan Kolej IGS pada malam 7 Jun.

Peluang terbaik untuk Laksamana mara ke separuh akhir adalah dengan menewaskan pasukan tercorot, KUPU SB, yang tewas ketiga-tiga perlawanannya sebelum ini sambil mengharapkan Kolej IGS walaupun sudah mara ke separuh akhir akan tetap menang ke atas Cosmo.

Cosmo pula masih memiliki peluang tipis layak selaku juara Kumpulan B tetapi ia perlu menang sekurang-kurangnya dengan jarak 7 gol seperti 7-0, 8-1, 9-2 dan seterusnya ke atas Kolej IGS untuk menjatuhkan Kolej IGS ke tangga kedua.

Keputusan seri mungkin cukup untuk melayakkan Cosmo ke separuh akhir asal saja Laksamana tidak menang 8-0 dan seterusnya ke atas KUPU SB pada 5 Jun nanti.