UBD jadi ahli Rangkaian Sakura

UBD jadi ahli Rangkaian Sakura

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Universiti Brunei Darussalam (UBD) menandakan satu lagi mercu tanda penting dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi antarabangsa apabila diterima menjadi ahli Rangkaian Sakura pada November 2015.

Rangkaian Sakura merupakan rangka kerja yang ditubuhkan oleh Yayasan Jepun (Japan Foundation) pada 2008 untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan Bahasa Jepun di luar negara serta untuk menyediakan peluang untuk mempelajari Bahasa Jepun dengan kerjasama institusi-institusi pendidikan Bahasa Jepun di seluruh dunia.

Sehubungan dengan itu, majlis simbolik penyerahan Sijil Rangkaian Sakura telah diadakan di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Kiulap, hari ini. Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sijil itu bagi pihak Yayasan Jepun ialah Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki dan menerima bagi pihak UBD ialah Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global) UBD, Dr. Joyce Teo Siew Yean dan Pengarah Pusat Bagi Penyelidikan Lanjut dan Pemangku Pengarah Pusat Bahasa UBD, Profesor Madya Dr. Noor Azam bin OKMB Haji Othman.

Puan Yang Terutama menyatakan harapan, melalui penyertaan UBD sebagai ahli kepada rangkaian itu, akan membantu untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan Bahasa Jepun di Brunei dan pada masa yang sama, membuka laluan supaya lebih ramai penuntut Brunei akan memilih Jepun sebagai destinasi melanjutkan pendidikan mereka atau mengikuti latihan di institusi pengajian tinggi Jepun. Beliau berkata bahawa pada 2014, rangkaian itu mempunyai sebanyak 127 ahli institusi di negara-negara Asia dan antarabangsa serta diharap pada 2015, jumlah keahlian akan meningkat dua kali ganda.

Puan Yang Terutama  Noriko Iki ketika menyampaikan sijil keahlian UBD.
Puan Yang Terutama Noriko Iki ketika menyampaikan sijil keahlian UBD.

Seterusnya, beliau amat mengalu-alukan usaha berterusan UBD dan Pusat Bahasa UBD untuk membantu meningkatkan pendidikan Bahasa Jepun serta amat menghargai kerjasama erat dan bantuan daripada pusat berkenaan dalam sama-sama menyokong Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam semasa penganjuran pelbagai kegiatan kebudayaan Jepun termasuk penganjuran Minggu Kebudayaan Jepun baru-baru ini.

Beliau juga menyatakan harapan supaya lebih ramai penuntut Brunei akan memilih Jepun sebagai destinasi pilihan untuk melanjutkan pengajian mereka dan juga berharap lebih ramai penuntut Jepun akan menuntut di institusi pengajian tinggi di Brunei.

Sementara itu, Dr. Joyce Teo percaya bahawa dengan penerimaan UBD sebagai ahli dalam Rangkaian Sakura, ia akan meningkatkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama di antara UBD dengan institusi-institusi ahli rangkaian berkenaan dan membantu untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan Bahasa Jepun yang ditawarkan serta dikendalikan di UBD.

Beliau turut menyatakan harapan untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi dalam pelbagai bidang serta berharap lebih banyak penuntut dari Jepun akan belajar di UBD melalui pertukaran pelajar.

Beliau juga berkata bahawa sebilangan besar penuntut UBD memilih untuk mengikuti pengajian di Jepun bagi Program Discovery Year mereka.

Dr. Noor Azam turut mengulas bahawa Bahasa Jepun merupakan antara bahasa yang banyak dipilih oleh penuntut UBD sebagai salah satu bahasa yang dipelajari oleh mereka.

Beliau yakin dengan peningkatan kualiti pendidikan Bahasa Jepun yang ditawarkan oleh UBD, lebih ramai penuntut akan menunjukkan penguasaan bahasa berkenaan dengan lebih baik dan ini akan mendorong peningkatan jumlah pelajar UBD memilih untuk mengikuti latihan atau kursus di institusi pengajian Jepun serta mendorong lebih banyak pertukaran pelajar.

Di majlis itu juga, Puan Yang Terutama juga berpeluang untuk menerima cenderahati istimewa berupa buku menunjukkan tempat dan jenis makanan pilihan yang terdapat di Brunei dalam Bahasa Jepun yang dihasilkan oleh penuntut-penuntut Bahasa Jepun UBD.

ARTIKEL YANG SAMA