UBD kekalkan kedudukan dalam ranking QS Asia

UBD kekalkan kedudukan dalam ranking QS Asia

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengekalkan kedudukannya dalam ranking Universiti Quacquarelli Symonds (QS) Asia 2016.

Berada pada kedudukan 123 di Asia, UBD kini dalam kedudukan 20 teratas dalam lima kategori Ranking Universiti QS, yang menandakan satu peningkatan daripada ranking tahun lalu yang mana UBD berada dalam kedudukan 25 keatas dalam kategori sama.

UBD dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia merupakan universiti nombor satu di Asia bagi pergerakan keluar pelajar bagi tahun kedua berturut-turut dan tempat ketiga bagi pertukaran dalaman, di tempat ke-11 bagi fakulti antarabangsa, ke-13 bagi nisbah pelajar fakulti dan ke-17 bagi pelajar-pelajar antarabangsa.

UBD mencatatkan markah penuh (100%) dalam tiga kategori – pertukaran pelajar-pelajar luar, pertukaran pelajar-pelajar dalaman dan fakulti antarabangsa.

Menurut kenyataan itu lagi, ini adalah tahun ketiga UBD berada pada kedudukan Ranking Universiti QS. Ia menduduki ranking pada ke-171-180 dalam tahun 2014. Pada tahun 2015 ia menjadi universiti ke-118 di Asia.

Pelajar-pelajar UBD dalam aktiviti pembelajaran mereka.
Pelajar-pelajar UBD dalam aktiviti pembelajaran mereka.

Pada tahun ini, QS telah memperkenalkan beberapa perubahan metodologi tentang cara ranking dihitung, termasuklah dengan buat pertama kali mengambil purata lima tahun beberapa kategori untuk menentukan markah akhir.

Perubahan tersebut memberi impak kepada universiti-universiti seperti UBD, yang hanya mencatatkan markah pada dua hingga tiga tahun lalu apabila ia baru memasuki ranking itu tiga tahun lalu.

Timbalan Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz berkata, di sebalik perubahan dalam metodologi dalam Ranking Unversiti QS, kemampuan UBD untuk mengekalkan kedudukannya memperlihatkan bahawa universiti itu telah mencatatkan keseluruhan lebih baik, yang memperlihatkan kerja keras para tenaga akademik dan kakitangan serta komitmen mereka untuk membina sebuah universiti kelas pertama.

Beliau berkata, lima kategori yang mana UBD berada pada kedudukan 20 teratas adalah berkaitan nilai teras pengajaran dan pembelajarannya yang termasuklah menyediakan pengalaman holistik dan menarik UBD bagi para pelajar dan menegaskan semula komitmen UBD kepada etos pembelajaran sepanjang hayat.

Kategori baru yang telah diperkenalkan oleh QS Rankings tahun ini ialah ‘Bilangan kakitangan yang memiliki PhD.’

“Alhamdulillah saya ingin menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi skim akademik baru yang membolehkan UBD merekrut ilmuan tempatan dan antarabangsa yang cemerlang,” kata beliau lagi.

Tambah beliau, sokongan tersebut adalah penting untuk membolehkan UBD terus memupuk para ilmuan tempatan dan memberikan kurikulum yang kompetitif peringkat antarabangsa kepada para pelajar, sejajar dengan agenda negara iaitu memiliki penduduk berkemahiran tinggi.

Ranking Universiti QS juga menilai produktiviti penyelidikan sebagai sebahagian usaha rankingnya. Sejak tahun 2011, aktiviti penyelidikan di UBD meningkat dengan pesatnya, dengan bilangan kertas diterbitkan bertambah setiap tahun dan berlipat ganda dalam tempoh lima tahun lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, penyelidikan di UBD terus dijana oleh kaitan kebangsaan dengan penekanan terhadap inovasi dan inisiatif keusahawanan. Usaha-usaha seumpama itu dimungkinkan menerusi rangkaian aktif UBD dan penglibatannya dengan pihak berperanan dalam industri ini untuk memastikan penyelidikan dan pengajarannya berkaitan dengan keperluan pasaran.

Dalam tempoh tiga tahun lalu, UBD telah memfailkan 40 paten menerusi pejabatnya, iaitu Pejabat Perusahaan dan Inovasi, yang lapan daripadanya telah diberikan di Brunei dan antarabangsa. UBD bermatlamat mengimbangi kelebihan perbandingannya dan projek besar penyelidikan dalam biodiversiti, perubatan herba, produk halal, urus tadbir Islam dan tenaga sedang dijalankan, kesemuanya adalah demi kepentingan kebangsaan dan dijangka memberi impak sejagat.

“Kami masih komited kepada penyelidikan dan kecemerlangan pengajaran dan untuk mewujudkan suasana yang mana graduan-graduan berkaitan industri dan bersedia berdepan masa hadapan, boleh terus berkembang maju,” kata Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina.

“Selaku warga universiti, kami menerima peranan kami dalam menyumbang kepada perkembangan sosial dan ekonomi jangka panjang dengan serius dan setiap anggota UBD mempunyai peranan yang harus dimainkan dalam merealisasikan Wawasan 2035.”

ARTIKEL YANG SAMA