UBD mahu ulangi kejayaan

UBD mahu ulangi kejayaan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini mengadakan Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen UBD yang akan menyertai Kejohanan Sukan Persahabatan Staf IPT Borneo 2016 yang akan berlangsung di Universiti Malaysia Sabah, Malaysia.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyerahkan bendera kepada ketua kontinjen UBD ialah Pemangku Pemangku Penolong Naib Canselor (Korporat & Pentadbiran) Pendaftar & Setiausaha UBD, Dayang Rubiah binti Haji Yacub.

Pemangku Timbalan Pendaftaran (Akademik), Hajah Joanna binti Haji Yacob, selaku ketua kontinjen berkata, kejohanan selama empat hari ini akan diadakan di Universiti Malaysia Sabah bermula 20 hingga 23 April 2016.

Sebanyak 13 acara sukan dipertandingkan antaranya badminton, bola jaring, futsal lelaki, futsal wanita, futsal veteran, bola sepak senior, tenis individu lelaki, tenpin boling lelaki, tenpin boling wanita, catur, damak, takraw dan golf.

Dayang Rubiah bergambar ramai bersama kontinjen UBD dan penaja-penaja.
Dayang Rubiah bergambar ramai bersama kontinjen UBD dan penaja-penaja.

UBD menghantar seramai 37 atlet iaitu 31 atlet lelaki dan enam orang atlet perempuan yang terdiri daripada warga kakitangan UBD yang akan menyertai acara bola sepak 9’s (veteran), futsal lelaki, badminton dan tenpin boling.

Menurut Hajah Joanna lagi, UBD pernah menjuarai kejohanan berkenaan pada tahun 2006 sebagai johan dalam sukan badminton berpasukan di Universiti Malaysia Sabah, dan pada 2013 memenangi tempat ketiga dalam sukan futsal veteran di Universiti Malaysia Sarawak.

Majlis diteruskan dengan Majlis Penyerahan Baju Jersi yang disampaikan oleh pihak penaja kepada tetamu kehormat.

Syarikat Jim Works Sdn Bhd menyerahkan baju jersi untuk pasukan futsal UBD, Syarikat Shamem Enterprise menyerah baju jersi untuk pasukan bola sepak veteran.

ARTIKEL YANG SAMA