UBD menang tempat ke-4

UBD menang tempat ke-4

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Pasukan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah berjaya menduduki tempat keempat menentang 23 pasukan universiti dari 18 buah negara dalam Pertandingan Kes Perniagaan Asia Pasifik HSBC/HKU ke-8, yang diadakan di Ibu Pejabat HSBC di Hong Kong, baru-baru ini.

Dalam pertandingan yang berlangsung pada 3 hingga 5 Jun lalu itu, UBD telah diwakili oleh mahasiswa-mahasiswa Tahun Akhir Pentadbiran Perniagaan daripada Sekolah Perniagaan dan ekonomi UBD (UBDSBE), iaitu Dayang Nur Azeera binti Napiah, Chung Chun Chieh, Awang Ahmad Hazim bin Dato Paduka Haji Mohd Murad, dan Awang Mohd Sahrezza bin Haji Mohd Salleh setelah berjaya memenangi Pertandingan Kes Perniagaan di Brunei.

Menurut kenyataan UBD, hari ini, pertandingan tiga hari, anjuran University of Hong Kong (HKU), itu memerlukan para peserta mencari penyelesaian kepada kes-kes perniagaan sebenar yang disediakan oleh Pusat Penyelidikan Kes Asia HKU.

Dalam peringkat akhir, para peserta perlu mencari penyelesaian bagi kes mengenai Pembangunan Dunia Baru, dalam konteks imej awam pemaju-pemaju Hong Kong yang semakin buruk, harga hartanah yang melambung dan cabaran-cabaran besar yang dihadapi oleh gedung membeli-belah dalam era e-perdagangan.

Dengan tiada akses kepada Internet, para peserta hanya bergantung pada diri mereka sendiri untuk mereka bentuk dan mendraf strategi-strategi pemasaran dan pertumbuhan bagi pemaju-pemaju hartanah Hong Kong, yang mana mereka diberi masa 20 minit untuk membentangkan idea penyelesaian mereka.

Pasukan UBD menunjukkan sijil mereka selepas Pertandingan Kes Perniagaan Asia Pasifik HSBC/HKU ke-8, yang diadakan di Ibu Pejabat HSBC di Hong Kong.
Pasukan UBD menunjukkan sijil mereka selepas Pertandingan Kes Perniagaan Asia Pasifik HSBC/HKU ke-8, yang diadakan di Ibu Pejabat HSBC di Hong Kong.

Pertandingan dihakimi oleh ahli-ahli komuniti perniagaan yang mempunyai pengalaman antarabangsa, mendedahkan para peserta kepada sebilangan bakat-bakat cerdik Asia.

Bercakap mengenai kemenangan mereka, Awang Ahmad Hazim dipetik sebagai berkata, “Pencapaian paling besar bagi kami bukan sahaja mara ke pusingan akhir, tetapi di pusingan ketiga, kami bersaing dengan johan dari universiti-universiti di Hong Kong.”

Dalam pusingan ketiga, pasukan UBD menentang Hong Kong University of Science and Technology yang merupakan bekas juara Pertandingan Kes Perniagaan Asia tahun-tahun lalu, dan merupakan juara Pertandingan Kes Perniagaan Hong Kong tahun ini.

“Hebat rasanya kami dapat bersaing setanding dengan mereka dan berjaya menang secara adil,” ujar Chung, sambil menambah, berikutan kemenangan itu, UBD telah mendapat pengiktirafan dalam kalangan pesaing-pesaing lain dan hakim-hakim pertandingan.

UBD dalam kenyataannya menyatakan, sebagai persiapan bagi pertandingan itu, para pelajar menjalani latihan mengenai kemahiran penganalisis kes mereka, pengetahuan pasaran dan kemahiran bercakap di khalayak awam di Entrepreneurial Village (EV), UBD.

ARTIKEL YANG SAMA