UBD mula pertahankan kejuaraan

UBD mula pertahankan kejuaraan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Penyandang kejuaraan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala Universiti (Unicup) BIBD At-Tamwil Berhad dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Politeknik Brunei (Poli).

Saingan Kumpulan A di Kompleks Sukan Berakas itu berakhir 2-0 pada separuh masa pertama sebelum UBD berjaya menambah satu lagi jaringan pada babak kedua untuknya mengutip 3 mata sekaligus mengekori rapat Institut Teknologi Brunei (ITB) di puncak Kumpulan A, yang menang 6-1 ke atas Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Dua jaringan pertama UBD dihasilkan oleh pemain dari Ghananya iaitu Der Basil Abeifaa, yang bermain cemerlang malam tadi dengan penghasilan gol pertamanya pada minit ke-34 disusuli gol kedua peribadinya pada minit ke-40.

Hanya lapan minit selepas rehat UBD terus memacu ke depan, kali ini menerusi jaringan Mohamad Sarif Nayan, dan ternyata jaringan itu menjadi gol terakhir perlawanan untuk memuktamadkan keputusan 3-0. Setelah berlangsungnya dua perlawanan dalam Kumpulan A, ITB berada di puncak dengan kelebihan enam jaringan setelah membelasah UNISSA malam kelmarin semasa majlis pembukaan rasmi, sementara UBD di tangga kedua dengan pungutan mata yang sama.

Kejohanan antara institusi pengajian tinggi di Negara ini akan diteruskan lagi malam ini (Selasa) dengan perlawanan kedua Kumpulan B iaitu di antara Laksamana College of Business (LCB) dan Micronet di Kompleks Sukan Berakas bermula pukul 8:15 malam.

UBD memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala Universiti dengan kemenangan 3-0 ke atas Politeknik Brunei semalam.
UBD memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala Universiti dengan kemenangan 3-0 ke atas Politeknik Brunei semalam.