UBD mulakan ujian TOEFL Januari tahun depan

UBD mulakan ujian TOEFL Januari tahun depan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan mula mengendalikan ujian Test of English as a Foreign Language (TOEFL) dalam format kertas pada Januari 2016.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, sejak 2013, UBD telah berjaya mengendalikan ujian-ujian kertas Am dan Subjek GRE.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pengendali Global Education, Educational Testing Service (pencipta program TOEFL), David Payne dipetik sebagai berkata, “Kami teruja untuk menawarkan ujian TOEFL di Brunei.

“Pusat ujian ini menyediakan akses kepada langkah penting bagi pelajar tatkala mereka mencapai matlamat pengajian lebih tinggi,” ujarnya.

TOEFL adalah ujian kecekapan Bahasa Inggeris yang dipiawaikan bagi bukan penutur yang berhasrat untuk memasuki institusi-institusi pendidikan tinggi, atau memohon visa bagi melanjutkan pelajaran atau bekerja di luar negara.

Ujian ini juga sesuai bagi pelajar Bahasa Inggeris yang ingin melihat kemajuan mereka dalam bahasa berkenaan.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar bagi ujian ini secara online atau memuat turun borang pendaftaran di laman sesawang www.ets.org/toefl/pbt/register/.

Pelajar yang mendaftar bagi ujian ini akan menerima satu salinan TOEFL® Practice Tests — Volume 1.

Bagi maklumat lanjut mengenai ujian kertas TOEFL, termasuk contoh-contoh soalan, bolehlah melayari laman sesawang www.ets.org/toefl/pbt.

ARTIKEL YANG SAMA