UBD paling pantas meningkat di Asia

UBD paling pantas meningkat di Asia

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah melonjak dari kedudukan 171-180 pada 2014 ke kedudukan 118 tahun ini dalam Kedudukan Universiti Asian Quacquarelli Symonds (QS).

UBD mencapai 25 teratas dalam lima kategori kedudukan QS manakala dalam tiga kategori lagi telah berada dalam 10 teratas.

UBD berada dalam kedudukan pertama bagi pertukaran pelajar keluar negara, tempat kedua bagi pertukaran pelajar dalam negeri, tempat keenam dalam fakulti antarabangsa, berada di tempat keempat bagi pelajar antarabangsa dan tempat ke 23 dalam nisbah pelajar fakulti.

UBD dalam kenyataannya berkata, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Abu Bakar bin Haji Apong menyuarakan rasa bangga atas pencapaian luar biasa UBD.

“Pengiktirafan antarabangsa itu adalah satu lagi mercu tanda dan bukti yang kukuh untuk UBD terus menyediakan pendidikan berkualiti ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035,” jelasnya.

Dua pelajar UBD (bertudung) bersama rakan-rakan pelajar semasa penempatan mereka di Galapagos Science Center, Galapagos Islands, Ecuador.
Dua pelajar UBD (bertudung) bersama rakan-rakan pelajar semasa penempatan mereka di Galapagos Science Center, Galapagos Islands, Ecuador.
Pelajar kejururawatan UBD bergambar bersama rakan sekuliah semasa menyambung belajar di Queen’s University of Belfast.
Pelajar kejururawatan UBD bergambar bersama rakan sekuliah semasa menyambung belajar di Queen’s University of Belfast.

Sementara Naib Canselor UBD dan Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi pula berkata, UBD akan terus menyediakan pendidikan bertaraf dunia di Brunei Darussalam.

Katanya, usaha ini didorong oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika bertitah di Majlis Konvokesyen ke-26 UBD yang antara lain mengingatkan universiti bahawa pembelajaran dan pendidikan merupakan satu perjalanan yang dinamik dan sentiasa berubah.

“Tiba masanya untuk kita berdaya saing, dan bukan sekadar melihat orang lain bersaing,” titah Baginda sambil menggalakkan UBD untuk terus diiktiraf sebagai universiti bertaraf dunia dalam skala global.

Pencapaian UBD dalam kedudukan itu boleh dikaitkan dengan rangka kerja kurikulum inovatif termasuk program Discovery Year; pertumbuhan pesat dalam penyelidikan; langkah pengambilan aktif dan fokus pembangunan dalam pentadbiran dan akademik Brunei.

Pengenalan Skim Perkhidmatan Staf Akademik, lawatan Profesor dan Skim Biasiswa Penyelidikan Siswazah telah menarik pelbagai pelajar dan akademik berkualiti tinggi ke UBD.

ARTIKEL YANG SAMA