UBD perkenal Program Sarjana Muda Perniagaan Digital

UBD perkenal Program Sarjana Muda Perniagaan Digital

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L) akan menawarkan program terbarunya iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Bidang Perniagaan Digital yang bakal bermula Januari 2017.

Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), Profesor Madya Dr. Mohammad Ayub Sadiq berkata, program tersebut akan menyediakan peluang untuk menyesuaikan kajian terbaik selaras dengan keperluan pendidikan setiap pelajar individu itu dengan objektif kerjayanya.

Program pembelajaran yang inovatif itu juga memberikan peluang kepada setiap pelajar untuk belajar mengikut kemampuan mereka sendiri, tempat dan masa mereka, katanya pada sidang media yang berlangsung di Bilik Galeri, Bangunan Integrated Science, UBD, pagi tadi.

Manakala itu, Pengarah C3L, Profesor Abdal-Hakim Hardaker pula menjelaskan bahawa program ini sesuai bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang multi disiplin sebagai asas (foundation) atau teras utama (major core) dalam empat bidang yang berbeza iaitu Bidang Perniagaan & Pengurusan, Keusahawanan, Teknologi Digital dan Celik Kewangan.

Pelajar juga akan dapat untuk menyesuaikan dan memilih bidang pengkhususan (specialization areas) mereka dalam industri kreatif, pelancongan dan hospitaliti, kajian alam sekitar, industri halal, perakaunan dan kewangan dan teknologi digital.

Profesor Madya Dr. Mohammad Ayub Sadiq semasa menyampaikan sidang media yang berlangsung di Bilik Galeri, Bangunan Integrated Science, UBD, kelmarin.
Profesor Madya Dr. Mohammad Ayub Sadiq semasa menyampaikan sidang media yang berlangsung di Bilik Galeri, Bangunan Integrated Science, UBD, kelmarin.

Secara keseluruhan, program ini memberikan peluang yang dapat memanfaatkan kekuatan para pelajar dalam pendekatan pembelajaran mereka dengan cara yang lebih mudah, sesuai dan mampan bagi mereka untuk mendapatkan kelayakan pendidikan yang lebih tinggi.

Bagi para pelajar yang baru saja menamatkan pengajian, mereka perlulah memenuhi syarat-syarat kemasukan sebelum membuat permohonan manakala bagi pelajar tidak berijazah (non-graduating students) boleh juga mengambil mana-mana modul yang diingini dengan setiap modul dikenakan bayaran $500 setiap satu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-28 UBD, baru-baru ini, berharap akses kepada pembelajaran sepanjang hayat melalui C3L akan dapat memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negara dan ekonomi berteraskan pengetahuan.

Bagi orang ramai yang berminat bolehlah memohon dengan menghantar e-mel ke alamat office.admission@ubd.edu.bn dan mereka akan diberikan kod permohonan yang akan memberi mereka akses untuk melengkapkan permohonan kemasukan dalam talian. Tarikh akhir permohonan adalah pada 5 Disember 2016.

C3L menanamkan budaya pembelajaran sepanjang hayat terus ke dalam reka bentuk dan pembangunan program pembelajaran dan kursus jangka pendek yang disesuaikan yang secara langsung menyokong pembangunan tenaga kerja mahir bagi sebuah masyarakat ke arah Wawasan 2035 dan bagi Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA