UBD, Politeknik Brunei sertai ekspo pendidikan

UBD, Politeknik Brunei sertai ekspo pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan ikut serta dalam Ekspo Pendidikan Tinggi yang akan diadakan di Dewan BRIDEX, Jerudong pada 13 dan 14 Februari ini, untuk memperkenalkan program-program pendidikannya dan peluang-peluang akademik sebelum semester baru pada Julai 2016.

UBD, dalam kenyataannya menyatakan, semasa ekspo dua hari itu, UBD akan mengetengahkan program-program ijazah GenNEXT, program Tahun Penemuan (Discovery Year), inisiatif-inisiatif keusahawanan dan peluang penyelidikan yang terdapat di universiti itu.

Sehubungan itu, mereka yang ingin melanjutkan pengajian lebih tinggi digalakkan untuk menemui ketua-ketua program, anggota fakulti dan pelajar kini mengenai jangkaan-jangkaan dan pengalaman akademik mereka semasa acara tersebut.

Orang ramai yang ingin mendaftar ke UBD di bawah biasiswa kerajaan juga boleh mendapatkan panduan mengenai permohonan HECAS oleh Kementerian Pendidikan.

Selain itu, UBD juga akan mengadakan aktiviti-aktiviti di kampus, sebagai sebahagian daripada usahanya mempromosikan kehidupan dan aktiviti-aktiviti pelajar serta program-programnya.

Pengunjung akan berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai UBD dan pelbagai aktiviti menariknya yang dikendalikan oleh Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Fakulti Sains dan Fakulti Teknologi Berintegrasi seperti simulasi perbidanan, demonstrasi CPR, kemahiran prosedur perubatan, pameran projek penyelidikan, pemeriksaan kesihatan, jelajah dan permainan.

Aktiviti-aktiviti berkenaan akan bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan jadual lengkap mengenai aktiviti di kampus boleh didapati di petak UBD semasa ekspo itu.

Manakala itu, Politeknik Brunei juga akan menyertai ekspo anjuran Bahagian Biasiswa dan Bahagian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, dengan mengetengahkan program-program yang mereka tawarkan dan syarat-syarat kemasukan.

ARTIKEL YANG SAMA