UBD, State Street ikat jalinan kerjasama

UBD, State Street ikat jalinan kerjasama

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan State Street Sdn Bhd bagi memperkenalkan pelbagai jenis program yang bermatlamat untuk mempertingkatkan literasi kewangan para pelajar tempatan dan mendedahkan mereka kepada industri perkhidmatan kewangan.

Majlis penandatanganan MoU berkenaan telah diadakan di The Core, UBD, petang tadi, dan menandatangani bagi pihak UBD ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz, manakala State Street Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific State Street Corporation, Wai-Kwong Seck.

MoU tersebut merasmikan kerjasama dalam pelbagai program termasuk pertandingan pembentangan saham bagi meningkatkan pemahaman pelajar mengenai pelaburan ekuiti, siri kuliah oleh eksekutif-eksekutif State Street dan peluang-peluang penempatan kerja bagi mahasiswa-mahasiswi UBD di Pejabat State Street cawangan Brunei.

Program-program tersebut bermatlamat untuk meluaskan pengalaman pembelajaran mahasiswa-mahasiswi dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan kewangan praktikal serta kemahiran sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran semasa Tahun Penemuan mereka.

Pertukaran dokumen antara Wai-Kwong Seck bagi pihak State Street Sdn Bhd dan UBD diwakili oleh Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina.
Pertukaran dokumen antara Wai-Kwong Seck bagi pihak State Street Sdn Bhd dan UBD diwakili oleh Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina.

Wai-Kwong Seck berkata, Brunei Darussalam mengambil langkah untuk merangsang pertumbuhan sektor kewangannya dan bergerak selangkah ke arah pengintegrasian ASEAN dengan melancarkan bursa saham sendiri.

“State Street sangat komited kepada rantau ini, dan dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran kami dalam perkhidmatan kewangan, kami berharap untuk bekerjasama dengan UBD untuk memupuk lebih ramai bakat tempatan bagi menyokong pembangunan ekonomi rantau ini,” tambahnya.

State Street Corporation (NYSE: STT) adalah salah sebuah pembekal perkhidmatan kewangan terkemuka di dunia kepada pelabur-pelabur institusi termasuk perkhidmatan pelaburan, pengurusan pelaburan dan penyelidikan dan perdagangan pelaburan.

Dengan aset bernilai $27 trilion di bawah jagaan dan pentadbiran dan $2 trilion aset di bawah pengurusan sehingga 31 Mac 2016, State Street beroperasi di lebih 100 pasaran geografi seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Eropah, Timur Tengah dan Asia.

ARTIKEL YANG SAMA