UBD tampil profesor terkemuka pada kuliah awam

UBD tampil profesor terkemuka pada kuliah awam

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Universiti Brunei Darussalam (UBD), menerusi Fakulti Sains (FOS) dan Pusat Bagi Kemajuan Sains Tenaga dan Bahan (CAMES) akan mengadakan kuliah awam dengan menampilkan profesor pelawat terkemuka, Mohammad K Nazeeruddin dengan tajuknya ‘Sel Suria Perovskit: Paradigma baru dalam Sektor Tenaga Boleh Dibaharui’ pada 10 Februari ini di Bilik Senat, Dewan Canselor.

Menurut kenyataan UBD, bahan perovskit yang digunakan dalam sel suria melibatkan jangkaan kos rendah, dapat diproses melalui pelbagai kaedah yang dapat diukur untuk menghasilkan keefisienan penukaran kuasa yang tinggi dalam sel-sel suria, berbanding dengan sel-sel suria saput nipis dan silikon jernih.

Dalam ceramah itu, Profesor Nazeeruddin akan membincangkan tentang sifat-sifat kimia dan prospek bahan perovskit dalam pelbagai pasaran penggunaan daripada sel suria hinggalah pengesanan, pengimejan, alam sekitar dan optoelektronik.

Ceramah dibukakan kepada orang ramai, terutamanya ahli-ahli akademik yang membuat kajian mengenai tenaga, para pegawai dan profesional dalam sektor tenaga serta mereka yang berminat dalam tenaga alternatif.

Sepanjang lawatan seminggu di FOS, Profesor Nazeeruddin akan melawat makmal penyelidikan di Jabatan Fizik dan Kimia dan CAMES untuk menemui para penyelidik UBD dan menilai penyampaian para pelajar penyelidikan tentang Photovoltaics.

Profesor Mohammad K Nazeeruddin akan menyampaikan kuliahnya di UBD pada 10 Februari ini.
Profesor Mohammad K Nazeeruddin akan menyampaikan kuliahnya di UBD pada 10 Februari ini.

Beliau juga akan mengadakan sesi langsung dan interaktif tentang pengajian Photovoltaics dan mengadakan bengkel tentang sel suria perovskit.

Menurut kenyataan itu lagi, Profesor Nazeeruddin mengajar jurusan ‘Functional Materials’ di Ecole Polytechnique de Lausanne (EPFL), Switerzland dan Universiti Korea di samping mengarah dan mengurus beberapa projek industri, kebangsaan, dan Kesatuan Eropah.

Penyelidikan terkini beliau di EPFL, menumpukan pada sel suria perovskit dan dye-sensitised, pengurangan karbon dioksida, penghasilan hidrogen dan diod mengeluarkan cahaya.

Baru-baru ini Profesor Nazeeruddin disenaraikan sebagai Minda Saintifik Paling Berpengaruh di dunia 2015 selepas diiktiraf sebagai Penyelidik Termasyhur Reuters.

Beliau telah menghasilkan lebih 500 kertas kerja, 10 buku dan pereka atau pereka bersama bagi lebih 60 paten. Beliau penah disenaraikan dalam penyenaraian ISI bagi ahli kimia termasyhur, dan mempunyai lebih 50,000 pemetikan dengan h-indeks 105.

Di samping itu, beliau pernah dianugerahkan Hadiah Kecemerlangan EPFL pada tahun 1998 dan 2006, Felo FAPESP Brazil dalam tahun 1999, Felo Agensi Teknologi & Sains Kerajaan Jepun dalam tahun 1998, Felo Kebangsaan Kerajaan India pada 1987-1988.

Beliau telah dilantik sebagai profesor Universiti Kelas Dunia (WCU) oleh Universiti Korea, Jochiwon, Korea, Profesor Adjunct oleh Universiti King Abdullah, Jedah, Profesor Pelawat bagi Universiti Raja Saudi, Riyadh, Arab Saudi dan profesor terkemuka di Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA