UBD teratas di Asia bagi mobiliti pelajar

UBD teratas di Asia bagi mobiliti pelajar

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Universiti Brunei Darussalam (UBD) berada di kedudukan teratas di Asia bagi mobiliti pelajar dalam Rangking Universiti Quacquarelli Symonds (QS) di Asia pada 2015 yang dikeluarkan semalam.

UBD adalah yang terbaik di Asia, berada di kedudukan pertama bagi penuntut luar dan nombor dua bagi penuntut-penuntut dalam di Asia.

Rangking pada tahun ini melonjak dari tahun lepas apabila UBD berada di kedudukan nombor 4 di Asia bagi pertukaran penuntut luar dan di kedudukan ke11 di Asia bagi pertukaran penuntut dalaman.

Rangking Universiti QS, yang diterbitkan pada setiap tahun sejak 2009, adalah salah satu rangking universiti yang paling berpengaruh, boleh dipercayai, teliti dan diperhatikan dunia. Dalam melakukan latihan rangking, QS menggunakan kejayaan-kejayaan menyeluruh yang melibatkan reputasi antarabangsa, kualiti kaki tangan, kecemerlangan penyelidikan dan kualiti pengajaran.

Naib Canselor UBD, Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam satu kenyataan hari ini berkata: “Meskipun ini adalah tahun kedua UBD menyertai dalam latihan rangking, kami telah mencapai kemajuan yang signifikan.

Kohort pertama pelajar MPPM semasa lawatan sambil belajar mereka ke Jabatan Negara, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Kohort pertama pelajar MPPM semasa lawatan sambil belajar mereka ke Jabatan Negara, Amerika Syarikat baru-baru ini.

pg05_150611_b

pg05_150611_a

“Kejayaan menduduki nombor satu di Asia dalam mobiliti penuntut adalah atas kepimpinan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta sokongan padu dan berterusan daripada kerajaan Baginda, selain memberi tumpuan sepenuhnya terhadap visi dan misi kolektif kami.

“Ia juga adalah hasil kerja keras dan sokongan setiap orang di universiti, ahli-ahli fakulti, kakitangan pentadbiran dan para penuntut yang penuh yakin terhadap langkah pertama untuk merealisasikan visi membawa perubahan,” katanya yang juga Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) di Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Pengarah Keilmuan, Keusahawanan dan Analisis City Uiversity, Hongkong, Dr Kevin Downing pula berkata, trajektori dan inisiatif baru UBD sejak beberapa tahun lalu telah menarik perhatian antarabangsa.

Menurut beliau, sejak beberapa tahun yang lalu telah menyaksikan UBD merombak sepenuhnya cara ia beroperasi sehingga mampu muncul sebagai salah sebuah institusi pendidikan tinggi terkemuka di Asia.

Ini adalah hasil kerja keras UBD bagi memastikan ia mendapatkan tempat yang sesuai sebagai universiti paling menarik dan inovatif di Asia.

Pada 2009, UBD membuat perubahan rangka kerja pendidikannya dengan memperkenalkan program GenNEXT yang disifatkan oleh QS sebagai satu ‘permulaan bermakna.’

Program ini mempunyai rangka kerja rentas disiplin yang meluas, memberikan fleksibiliti kepada pelajar merangka pengajian mereka selaras dengan gaya pembelajaran masing-masing.

Ini termasuklah program rintis UBD, Discovery Year, yang memberikan peluang kepada pelajarnya untuk belajar di pentas global melalui perkongsian bersama dengan universiti-universiti dan institusi dari enam benua.

Semasa Discovery Year itu, mereka belajar di luar negara, inkubasi rintis dan projek inovasi, rekaan dan menyertai program komuniti dan juga amal.

Pada tahun akademik 2014/2015, UBD menghantar lebih 80 peratus daripada penuntutnya ke lebih 170 buah institusi di 30 buah negara. Antara rakan terkenal UBD termasuk Universiti Kyoto, Universiti Korea, King’s College London, University of North Carolina di Chapel Hill, Universiti Kebangsaan Singapura, Mercy Relief dan Study Abroad Foundation.

Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain, menambah, “Kami percaya setiap pelajar boleh menyumbang dan melakukan perubahan kepada masyarakat. Setiap langkah yang diambil oleh universiti adalah bagi menghasilkan perkhidmatan yang lebih baik dan sebagai rakyat yang bertanggungjawab.”

ARTIKEL YANG SAMA