UBD terima 26 pelajar luar negeri

UBD terima 26 pelajar luar negeri

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menerima sebanyak 26 penyertaan terdiri di kalangan pelajar dari lapan buah universiti antarabangsa untuk mengikuti sesi kedua Global Discovery Programme (GDP) ke-5, yang mana sesi pertamanya diadakan bulan Mei lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, para peserta itu merupakan pelajar dari King’s College London, University of Hong Kong dan Hong Kong University of Science and Technology dari Hong Kong, Waseda University dan Tokyo University of Foreign Studies dari Jepun, Daejeon University dan Sookmyung Women’s University dari Korea dan Xiamen University dari China.

GDP merupakan inisiatif UBD melalui Pusat Pendidikan Lanjutan (CEC) yang menawarkan para pelajar antarabangsa peluang untuk meneroka Negara Brunei Darussalam, selain menawarkan pengalaman untuk memahami hidup pelajar di negara ini.

Program yang telah dimulakan pada 2 Ogos lalu, akan diteruskan sehingga 30 Ogos ini.

GDP adalah satu program yang membolehkan para pelajar mengumpul sehingga empat kredit dalam selama empat minggu dengan menjalani empat tema meluas berkaitan Bahasa dan Kebudayaan, Sejarah Brunei, Perniagaan dan Industri, serta Green Science.

Dr. Yabit bergambar ramai bersama para peserta yang juga pelajar dari pelbagai universiti luar negara yang mengikuti Global Discovery Programme.
Dr. Yabit bergambar ramai bersama para peserta yang juga pelajar dari pelbagai universiti luar negara yang mengikuti Global Discovery Programme.

Melalui aktiviti dan ceramah, program yang bertujuan untuk membangunkan kecekapan pelajar antarabangsa ini juga akan memahami isu-isu perspektif global di samping menggalakkan sikap positif terhadap kepelbagaian budaya.

Komponen yang lebih penting dan menarik dalam program ini adalah lawatan lapangan pendidikan yang bukan sahaja melengkapkan kuliah, tetapi juga berharap untuk memperkayakan pengalaman budaya pelajar dan memupuk hubungan yang lebih rapat dengan peserta GDP dan rakan-rakan mereka.

Memandangkan para peserta datang dari latar belakang yang berbeza-beza, program ini akan membantu memupuk rasa persefahaman dan penghargaan kepelbagaian budaya, identiti dan masyarakat.

Pengarah Pusat Pendidikan Lanjutan, Dr Yabit Alas yang baru-baru ini telah merasmikan majlis kedatangan para pelajar berkenaan, mengatakan program GDP ini juga menggabungkan lawatan ke Rumah Panjang Iban dan Gua Niah di Sarawak, Malaysia untuk mendedahkan para peserta kepada salah satu gua yang menakjubkan di Borneo di mana berjuta-juta perniagaan yang berlaku dalam sejarahnya, penanaman sarang burung dan juga untuk meningkatkan pengetahuan mereka tentang Brunei dan Borneo.

“Dunia akan menjadi tempat yang lebih baik pada masa akan datang jika banyak pelajar dapat mendalami budaya lain dengan sama sekali melibatkan diri dengan orang-orang tempatan dari negara-negara lain,” kata Dr Yabit dalam ucapannya.

Sepanjang kursus ini, Dr. Yabit berharap para peserta akan belajar dan memahami tentang budaya, rakyat, dan juga agama Islam di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA