Uber bakal diharamkan di Taiwan

Uber bakal diharamkan di Taiwan

TAIPEI, 3 Ogos – Syarikat perkhidmatan teksi, Uber mungkin diharamkan di Taiwan selepas pihak berkuasa menuduhnya beroperasi secara haram, dengan para pegawai hari ini berkata keputusan muktamad akan dibuat minggu depan.

Itu adalah halangan terbaru bagi syarikat AS, selepas ia terpaksa menggantungkan operasinya di Hungary bulan lalu dan pada Jun lalu didenda kerana beroperasi secara haram di Perancis.

Uber memasuki pasaran Taiwan dalam tahun 2013 dan syarikat dan pemandu-pemandu telah pun didenda sejumlah Tw$65 juta, menurut kementerian pengangkutan.

Para pemandu teksi yang berang mengelilingi parlimen di bandar Taipei bulan lalu, menuntut kerajaan menyingkirkan Uber, mengulangi bantahan serupa di beberapa buah negara lain. Pihak berkuasa berkata Uber tidak mempunyai pendaftaran yang teratur untuk beroperasi sebagai perkhidmatan teksi.

CHINA-US-TRANSPORT-UBER-DIDI-MERGER

“Uber berdaftar sebagai penyedia perkhidmatan maklumat, tetapi apa yang dilakukannya sebenarnya ialah pengangkutan,” kata Lin Kuo-hsein, seorang jurucakap kementerian itu.

Perkara itu mengakibatkan para pengguna dalam keadaan tidak dilindungi, kata Lin, dengan menambah kata bahawa lesen individu sebilangan pemandu Uber telah pun digantung dan dikenakan denda Tw$50,000.

Suruhanjaya pelaburan Taiwan, yang mengawasi dan meluluskan pelaburan asing dan pelaburan ke luar, berkata hari ini bahawa ia akan membuat keputusan berhubung kes Uber sebelum 11 Ogos.

“Dari penilaian awal, mungkin Uber akan diharamkan, Emile Chang, setia-usaha eksekutif suruhanjaya itu memberitahu AFP. – AFP