Uber bergabung dengan Didi Chuxing di China

Uber bergabung dengan Didi Chuxing di China

SAN FRANCISCO, 1 Ogos – Penyedia perkhidmatan kereta sapu dalam talian utama China, Didi Chuxing, akan bergabung dengan perniagaan Uber di China dalam satu janji niaga bernilai US$35 bilion yang akan mengakhiri persaingan sengit antara kedua-dua syarikat itu.

Menurut sumber yang hampir dengan janji niaga itu, ia hampir selesai dan akan diumumkan seawal Isnin depan.

Entiti baharu itu nanti menggabungkan penilaian terkini Didi bernilai AS$28 bilion dan Uber China AS$7 bilion bagi memberikan permodalan pasaran digabungkan AS$35 bilion.

Pelabur Uber China akan menguasai 20 peratus kepentingan dalam syarikat baharu itu, kata sumber.

Uber ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas. Sebagai tambahan, Didi akan melabur AS$1 bilion dalam Uber yang mengendalikan perniagaan global di luar China di pangkalannya di San Francisco, kata sumber itu.

Tahun lalu, Didi melabur AS$100 juta dalam Lyft, pesaing utama Uber di Amerika Syarikat (AS).

Ia juga menjalin pakatan dengan Lyft, Ola di India dan Grab di Asia Tenggara dalam usaha bersaing dominasi Uber di peringkat global. Tetapi China adalah satu pasaran yang mencabar buat Uber.

Syarikat itu sudah melabur lebih AS$1 bilion setahun di China dalam perang harga dengan Didi. Operasi Uber menguntungkan di AS, Kanada dan di kira-kira 100 bandar lain. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA