Uber jual saham kepada Softbank Jepun

NEW YORK, 13 Nov – Syarikat perkhidmatan teksi Uber yang dibelenggu krisis, semalam mengumumkan satu perjanjian untuk menjual saham kepada SoftBank Jepun, tatkala firma itu berhasrat untuk menempa era baru sebelum IPO pada 2019.

Tindakan tersebut diumumkan sejurus selepas laporan timbul bahawa bekas CEO Travis Kalanick dan seorang pelabur berpengaruh telah berbaik-baik semula dalam satu persengketaan lama yang membuka laluan kepada pemerolehan.

“Kami telah mencapai satu perjanjian dengan konsortium yang dipimpin oleh SoftBank dan Dragoneer mengenai pelaburan berpotensi,” kata satu kenyataan syarikat petang semalam.

“Kami percaya perjanjian ini adalah satu undi percaya yang kukuh dalam potensi jangka panjang Uber,” tambahnya.

“Selepas ditutup, ia akan membantu merangsang pelaburan kami dalam teknologi dan perkembangan berterusan kami di dalam dan luar negara, sementara memperkukuh pentadbiran korporat kami.”

Gambar fail pada 20 Julai 2017 menunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp, Masayoshi Son, bercakap semasa pembentangan SoftBank World di sebuah hotel di Tokyo. Konglomerat teknologi Jepun SoftBank telah mencapai kesepakatan dengan Uber untuk melabur berbilion-bilion dolar. – AP

Namun SoftBank enggan mengesahkan berita tersebut apabila dihubungi oleh AFP dan berkata ia tidak merancang untuk mengeluarkan sebarang kenyataan semalam.

Kumpulan Jepun itu, ditubuhkan oleh jutawan Masayoshi Son, menyatakan minat beberapa bulan lalu untuk melabur kira-kira AS$1 bilion dalam Uber untuk saham sebanyak sekurang-kurangnya 14 peratus.

Namun perjanjian terjejas oleh konflik di antara Kalanick dan firma modal usaha niaga AS Benchmark.

Benchmark memfail satu tindakan guaman ke atas Kalanick, menuduh beliau menipu, mencabul kontrak dan berkomplot memanipulasi lembaga pengarah untuk membenarkan beliau kembali sebagai CEO selepas peletakan jawatannya pada Jun.

Kedua-dua pihak dilaporkan mencapai perjanjian mengenai kawalan kerusi lembaga, yang termasuk Benchmark menangguhkan tindakan guamannya, sementara Kalanick akan membenarkan pengarah mengundi mengenai pelantikan masa depannya untuk tiga kerusi yang diselianya. – AFP