UCI gesa Malaysia baiki Velodrom Rakyat

UCI gesa Malaysia baiki Velodrom Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) – Malaysia memerlukan kemudahan lengkap untuk latihan dan pertandingan terutama velodrom yang baik jika mahu kekal sebagai kuasa sukan berbasikal Asia, kata Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Brian Cookson.

“Sukar diterima adanya Velodrom (Rakyat di Ipoh, Perak) yang sudah rosak, khususnya di Malaysia yang dianggap antara kuasa sukan berbasikal Asia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Malaysia segera memperbaiki velodrom itu supaya dapat digunakan untuk kejohanan serantau atau pertandingan lain serta tujuan latihan.

“Jika mahukan kejayaan, anda perlu melabur untuk mendapatkan kemudahan yang baik, selain menekankan juga kepada kejurulatihan dan pembangunan lain,” kata Cookson dalam kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Berbasikal Perak, hari ini.

Cookson berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab dan naib presidennya Datuk Amarjit Singh Gill di luar mesyuarat Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), di sini hari ini.

Menurut Cookson, adalah satu kebanggaan negara untuk membina velodrom menerusi sumbangan rakyat tetapi dana kerajaan tetap juga diperlukan. Dalam kenyataan sama, Amarjit yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Perak mengulangi permintaan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri Perak untuk membaik pulih velodrom itu dengan anggaran kos RM4 juta seperti yang dibuat oleh sebuah firma perunding Jerman.

Velodrom Rakyat adalah velodrom pertama di negara ini yang dibina pada 1984 hasil sumbangan orang ramai yang diilhamkan bapa Amarjit, Tan Sri Darshan Singh Gill.

Gelanggang itu pernah menganjurkan beberapa kejohanan utama dunia seperti Piala Trek Dunia 2000, Kejohanan Berbasikal Dunia B 1997 dan Kejohanan Berbasikal Asia.

ARTIKEL YANG SAMA