Udara di Chile tercemar

Udara di Chile tercemar

SANTIAGO, 22 Jun (Reuters) – Pihak berkuasa Chile mengisytiharkan kecemasan alam sekitar untuk rantau metropolitan Santiago hari ini, memaksa lebih daripada 900 industri ditutup buat sementara waktu dan kira-kira 40 peratus daripada 1.7 juta kereta di ibu negara tidak dibenarkan menggunakan jalan raya.

“Buat masa sekarang kami sedang menghadapi keadaan luar biasa, dengan salah satu keadaan paling kering pada Jun dalam lebih 40 tahun serta keadaan pengedaran udara yang amat teruk di lembah Santiago sejak beberapa hari ini, yang menambah penumpuan pencemaran,” kata Kementerian Alam Sekitar dalam satu kenyataan.

Kecemasan itu, yang pertama sejak 1999, akan berkuat kuasa selama 24 jam dan boleh dilanjutkan seterusnya jika pihak berkuasa menganggap keadaan masih belum stabil.

Kementerian Alam Sekitar tidak dapat memberikan Reuters satu senarai mengenai industri mana yang akan dipaksa menggantung operasi mereka pada hari ini.

Bandar Santiago di Chile diselubungi kabus yang telah meningkatkan kecemasan udara. – AFP
Bandar Santiago di Chile diselubungi kabus yang telah meningkatkan kecemasan udara. – AFP

Penduduk di kawasan Santiago juga dinasihatkan supaya mengelak melakukan senaman di luar rumah, walaupun aktiviti sedemikian tidak dilarang. Chile berada di tengah-tengah penganjuran kejohanan bola sepak Copa America. Perlawanan seterusnya dijadualkan pada Rabu.

Kekurangan hujan dan angin telah membenarkan penumpuan jisim zarahan kecil dikenali sebagai PM2.5 meningkat, menyelubungi bandar dalam jerebu. Jisim zarahan boleh memasuki paru-paru dan aliran darah dan telah dikaitkan dengan penyakit jantung, kesukaran pernafasan dan kerosakan alam sekitar.

Suhu sejuk pada masa ini mendorong ramai penduduk menggunakan pemanas yang menggunakan kayu bakar, yang memburukkan lagi kualiti udara.