Udara terbersih, paling selamat

Udara terbersih, paling selamat

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Negara Brunei Darussalam terus menambah kredibiliti di mata dunia apabila kualiti udara negara ini mendapat sijil kebersihan daripada Economic Intelligence Unit (EIU) dalam laporannya minggu ini.

Brunei mempunyai tahap pencemaran yang baik di bawah siling Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi kualiti udara luar yang boleh diterima berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini di mana tahap pencemaran bandar adalah amat tinggi, sebahagian besarnya kerana pemilikan kereta yang tinggi di bandar-bandar utama rantau ini, menurut EIU dalam laporannya mengenai bandar-bandar ASEAN bertajuk ‘Stirring the Melting Pot’ diterbitkan minggu ini.

Laporan itu muncul hanya seminggu selepas satu penemuan serupa oleh WHO yang menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam mempunyai tahap udara paling bersih dan selamat serta merupakan antara negara-negara yang mempunyai jumlah kematian terendah akibat pencemaran udara, dengan sifar kematian berbanding 100,000 orang.

Laporan ini menganalisis data dari 100 buah negara, membandingkan pendedahan kepada pencemaran udara sekeliling dan kematian serta penyakit yang berkaitan.

Ia menunjukkan negara ini adalah antara 10 negara yang mempunyai keputusan terbaik bagi kepekatan PM2.5 – kaedah mengukur pencemaran udara—bersamaan dengan kadar kematian dan penyakit disebabkan oleh pencemaran.

Gambar fail: Laporan EIU meletakkan Brunei Darussalam antara 10 buah negara yang mempunyai indeks udara terbersih dan paling selamat.
Gambar fail: Laporan EIU meletakkan Brunei Darussalam antara 10 buah negara yang mempunyai indeks udara terbersih dan paling selamat.

Laporan EIU turut mengatakan bahawa 77 peratus penduduk Brunei tinggal di kawasan bandar.

Buat pertama kali dalam sejarah, bandar-bandar kini adalah tempat kediaman kepada lebih 50 peratus populasi global, dan ia dijangka melangkaui 60 peratus menjelang 2030 dan 66 peratus menjelang 2050.

Beberapa kadar urbanisasi tertinggi dalam dekad-dekad akan datang akan terus berlaku di negara-negara Asia Tenggara. Ini disebabkan rantau ini bermula dari dasar urbanisasi rendah.

Hampir separuh warga ASEAN tinggal di kawasan bandar, namun purata ini merangkumi julat yang besar daripada 100 peratus di Singapura kepada hanya 21 peratus di Kemboja.

Negara-negara ASEAN mempunyai 10 ahli mewakili satu blok ekonomi berkuasa. Dengan KDNK gabungan berjumlah AS$2.4 trilion, ASEAN merupakan ekonomi keenam terbesar di dunia.

EIU menjangkakan pertumbuhan di rantau ini kepada purata 4.6 peratus tahunan dalam masa lima tahun akan datang. Kebanyakan daripada pertumbuhan ini berpunca daripada hab-hab urban (bandar) ASEAN.

Menurut EIU, Brunei merupakan negara kedua terkaya dalam kadar KDNK per kapita, kira-kira 30 kali lebih tinggi berbanding negara-negara anggota ASEAN yang miskin.

ARTIKEL YANG SAMA