UEFA Euro kembali lagi

UEFA Euro kembali lagi

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Para peminat sukan bola sepak dan pembaca surat khabar, Media Permata dan Borneo Bulletin, bukan sahaja berpeluang menyaksikan pasukan kegemaran anda beraksi di dalam Piala UEFA EURO 2016 tetapi juga berpeluang untuk memenangi dan membawa pulang pelbagai hadiah menarik termasuk hadiah utama sebuah kereta baru, Hyundai Creta 1.6 GLS Auto dalam Pertandingan UEFA EURO 2016, ‘Guess The Semi-Finalist Contest!’.

Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Brunei Press Sdn Bhd, Setia Motors Sdn Bhd dan McDonald’s bagi penganjuran pertandingan tersebut berlangsung di Restoran Millenium, Gadong, hari ini.

Menandatangani bagi pihak Brunei Press ialah Pengurus Besarnya Reggie See dengan disaksikan oleh Timbalan Pengurus Besar, Hazizah Osman. Manakala Setia Motors Sdn Bhd diwakili Pengurus Besarnya, James Chin dan disaksikan oleh Pengurus Jualan, Fadhillah Sulaiman, sementara McDonald’s diwakili oleh Eksekutif Sumber Manusia Makan Ceria Sdn Bhd, Noor Hafilah Mohammed Salleh dengan disaksikan Pengurus Besar Restoran, Hartini Haji Hussin.

Terdahulu Reggie See dalam ucapannya berkata, ini merupakan kali kedua Brunei Press menganjurkan pertandingan ‘Guess The Semi-Finalist’ bagi kejohanan EURO, di mana pada pertandingan yang diadakan pada 2012, ia mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan dengan menerima lebih 20,000 penyertaan.

Beliau percaya, penyertaan bagi pertandingan ‘Guess The Semi-Finalist Contest!’, dijangka terus meningkat apatah lagi kejohanan UEFA EURO 2016, merupakan salah satu kejohanan bola sepak yang amat dinantikan oleh para peminat bola sepak tempatan.

Reggie See ketika menyampaikan ucapan.
Reggie See ketika menyampaikan ucapan.
Penaja UEFA EURO 2016 France ‘Guess The Semi-Finalist Contest!’ bergambar ramai.
Penaja UEFA EURO 2016 France ‘Guess The Semi-Finalist Contest!’ bergambar ramai.

Beliau yakin, para peminat mempunyai pilihan pasukan masing-masing dan dengan itu, sambutan bagi pertandingan dan kejohanan itu akan bertambah hebat sekali.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan penghargaan kepada pihak Setia Motors Sdn Bhd dan Makan Ceria Sdn Bhd (McDonald’s)di atas sokongan dan kerjasama untuk sama-sama menjayakan dan menaja hadiah-hadiah menarik bagi pertandingan berkenaan.

Sementara itu, James Chin dalam ucapannya turut menyatakan penghargaan kepada pihak Brunei Press atas sokongan berterusan yang diberikan dan penajaan dalam pertandingan itu merupakan salah satu usaha pihak Setia Motors menghargai sokongan berterusan kepada syarikat berkenaan terutama kepada jenama Hyundai.

Menurut beliau, hadiah utama merupakan kereta, Hyundai Creta 1.6 Auto yang baru dilancarkan di pasaran Brunei baru-baru ini, merupakan sebuah kereta yang menawan dengan ciri-ciri moden yang memenuhi kehendak pemandu dan penumpang tempatan.

Beliau turut mendedahkan bahawa sejak dilancarkan baru-baru ini, Hyundai Creta mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan di mana senarai menunggu bagi kereta itu sudah mencecah 60 buah kenderaan. James Chin berkata, dengan hadiah menarik yang ditawarkan dalam pertandingan itu, beliau percaya penyertaan untuk pertandingan itu mampu melebihi 20,000 penyertaan pada 2012.

Manakala itu, Noor Hafilah berkata bahawa syarikatnya amat gembira untuk bersama-sama menaja pertandingan itu dan ia merupakan satu usaha untuk mendekati lagi pelanggan mereka serta membantu menyumbang kembali kepada masyarakat.

Dalam pertandingan itu, pihaknya menawarkan hadiah berupa baucar makanan yang berjumlah keseluruhan $3,000 dan merupakan salah satu tajaan terbesar bagi syarikat berkenaan dan berharap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan berkenaan.

Mengulas mengenai perkembangan terkini bagi Makan Ceria Sdn Bhd, beliau mendedahkan bahawa cawangan terbaru dan kedua Restoran McDonald’s yang terletak di Taman Permainan Jerudong akan mula beroperasi pada Jun nanti.

Kejohanan UEFA EURO 2016 akan bermula pada 10 Jun nanti dan kejohanan itu mempunyai pengikut yang amat ramai dalam kalangan peminat sukan bola sepak dunia termasuk Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA