UEFA gantung ...

UEFA gantung Lyon, Besiktas dari pentas Eropah

NYON, Switzerland, 20 April – Lyon dan Besiktas yang digantung daripada beraksi di pentas Eropah, juga dikenakan denda 100,000 euro semalam, susulan keganasan penonton yang mengganggu pertemuan suku akhir Liga Europa di Perancis.

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) berkata kelab Turki dan Perancis itu tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kejohanan peringkat benua jika layak namun badan induk itu memutuskan penggantungan itu akan ditangguhkan ‘untuk tempoh percubaan dua tahun’.

“Berdasarkan laporan rasmi dan bukti yang ada semasa pembentangan di badan disiplin UEFA, Badan Kawalan, Etika dan Disiplin (CEDB) menimbangkan yang peminat kedua-dua kelab bertanggungjawab atas gangguan ketika perlawanan,” kata UEFA dalam satu kenyataan.

Penyokong Lyon dan Besiktas bergaduh semasa perlawanan Liga Europa di stadium Parc Olympique Lyonnais pada 13 April lalu. – AFP
Penyokong Lyon dan Besiktas bergaduh semasa perlawanan Liga Europa di stadium Parc Olympique Lyonnais pada 13 April lalu. – AFP

Presiden Lyon Jean-Michel Aulas yang menggambarkan hukuman itu sebagai ‘adil’ berkata: “Kami akan lihat sama ada akan merayu… namun kami menghormati keputusan UEFA. Kami memegang sedikit tanggungjawab,” katanya dalam laman web kelab berkenaan.

Lyon dan Besiktas menyalahkan peminat lawan masing-masing kerana mencetuskan kekacauan berkenaan pada Jumaat lalu yang memaksa perlawanan tertangguh selama 45 minit.

Begitupun, Besiktas berang dengan keputusan itu dan menyalahkan polis di Lyon dan mengugut untuk melancarkan tindakan undang-undang terhadap UEFA. – AFP