Ugut bakar rumah adik

Ugut bakar rumah adik

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai Mahkamah Majistret, hari ini, menetapkan 14 Julai untuk sebutan hukuman seorang lelaki yang mengaku bersalah kerana mengugut untuk membakar rumah adiknya, hanya kerana pembantu rumah dihantar pulang ke negara asalnya.

Majistret Hajah Ervy Sufitria-na binti Haji Abdul Rahman menetapkan tarikh hukuman itu bagi Haji Shahrul Alim bin Haji Sulaiman, 38, yang didakwa melakukan ugutan terhadap mangsa yang berusia 37 tahun di rumahnya di Kampung Sungai Tilong pada 19 Jun 2016.

Dia juga berdepan dakwaan memandu kereta secara berbahaya di kawasan Jalan Muara pada 20 Jun 2016 selain menghadapi tuduhan melakukan kerosakan pada kereta yang dipandunya sehingga terbabas ke dalam longkang pada tarikh yang sama.

Fakta kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vuina Song menyebut, Haji Shahrul tinggal bersama abang, adik dan ayahnya di rumah yang sama di mana rumah itu dibahagikan kepada empat unit.

Tertuduh bersama abangnya tinggal di tingkat atas manakala mangsa dan ayahnya di tingkat bawah rumah tersebut.

Tertuduh yang naik berang kerana adiknya telah menghantar pulang pembantu rumah tanpa pengetahuannya, telah menendang kuat pintu unit mangsa sambil mengugut untuk membakar rumah itu.

Tertuduh kemudian menghantar pesanan WhatsApp kepada anak mangsa dan mengugut untuk membakar rumahnya.

Melihat pesanan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis.

Untuk kesalahan memandu secara berbahaya dan merosakkan kereta yang dipandunya, tertuduh didapati memandu dengan memasuki laluan bertentangan dan sengaja memandu ke dalam longkang di Jalan Muara.

Selepas kemalangan itu, tertuduh meninggalkan keretanya dan berjalan balik ke rumah di mana dia diberkas tidak lama kemudian.

Tertuduh mengaku mengu-gut mangsa kerana kecewa apabila keluarganya tidak memaklumkan kepadanya bahawa mereka telah menghantar pulang pembantu rumah itu.

Dia mengaku mempunyai hubungan dengan pembantu rumah itu.

Dia juga mengaku memandu kereta secara berbahaya kerana kecewa dengan keluarganya, dan ingin membunuh diri.

ARTIKEL YANG SAMA