Ugut polis dengan pisau

Ugut polis dengan pisau

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160302_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengugut seorang inspektor polis dengan dua bilah pisau.

Mohd Abdul Muiz bin A. Roslan, 26, didakwa mengugut pegawai polis tersebut dengan dua bilah pisau dan menghalaunya keluar dari rumah di Kampung Perpindahan Rimba pada 28 Februari 2016 kira-kira jam 11:52 malam. Dia dituduh melakukan kesalahan itu sebagai cara untuk mengelak dirinya daripada disoal siasat berhubung dengan satu kes.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 189 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan pemenjaraan untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga lima tahun dan juga denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi memohon untuk kes disebut semula dalam tempoh seminggu dan tidak membantah supaya tertuduh dilepaskan atas ikat jamin $5,000 atau seorang penjamin tempatan. Melihat kesan lebam pada kedua-dua mata tertuduh, Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membuat pertanyaan mengenainya di mana Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan bahawa tertuduh telah melawan ketika cuba ditangkap.

Ketua Majistret mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan salinan perubatan hospital jika tertuduh sudah mendapat rawatan untuk cedera yang dialaminya itu.

Ketua Majistret menetapkan 8 Mac untuk sebutan semula dan memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman di Balai Polis Pusat jika gagal mendapatkan ikat jamin.

ARTIKEL YANG SAMA